
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kestabilan menjadi kunci utama kepada kemakmuran negara dan negeri Selangor.

Amirudin bersalam dengan seorang pengunjung Gombak Festival 2025 di Dataran Sungai Tua
Katanya faktor tersebut juga membolehkan negeri tersebut mencatat sejarah sebagai penerima pelaburan tertinggi dalam negara tahun lalu.
“Pelaburan melibatkan sektor pembuatan dan perkhidmatan tahun lalu mencecah RM101 bilion, angka tertinggi dalam sejarah Selangor dan Malaysia.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha memastikan hasil pelaburan yang tinggi ini memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan sekadar angka,” katanya ketika berucap merasmikan Gombak Festival 2025 di Dataran Sungai Tua, di sini semalam.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak, memberi contoh Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang kini menampung kira-kira 140,000 pelajar.

Amirudin menyerahkan kotak barangan asas kepada salah seorang penerima
“Kerajaan negeri menambah peruntukan PTRS antara RM3 juta hingga RM4 juta, menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan program itu mencecah RM10 juta.
“Kita tidak hanya bercakap soal pembangunan, tapi turut memastikan Selangor menjadi negeri yang berdaya huni, kaya dengan peluang pekerjaan dan pendidikan untuk semua,” ujarnya.
Mengulas mengenai penyasaran semula subsidi oleh kerajaan, Amirudin memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerima manfaat.
“Kita tidak mahu subsidi terlepas kepada yang tidak sepatutnya.
“Sebab itu beberapa langkah diperkenalkan termasuk perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan mewah dan import,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa hasil kutipan cukai SST turut dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program.
“Ini dapat dilihat menerusi peningkatan dana kepada usahawan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).
“Begitu juga Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut ditambah baik,” jelasnya.
-AA-