Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Ketirisan LPG Disasar: OPS Gasak Tepis Spekulasi Tidak Berasas

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin

BACHOK, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiat pelaksanaan Operasi Gas Memasak (OPS Gasak) bagi mengekang ketirisan barang kawalan dan manipulasi bekalan Gas Petroleum Cecair (LPG) yang semakin berleluasa dalam kalangan pemain industri dan peruncit tidak bertanggungjawab.

OPS Gasak yang bermula pada 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 itu menyasarkan pemantauan ketat terhadap aktiviti penyelewengan, penyalahgunaan dan penyimpanan LPG bersubsidi secara haram dengan menumpukan kepada aktiviti penguatkuasaan terhadap pengedar, pemborong dan peniaga berskala besar yang dikesan menyalahgunakan subsidi kerajaan.

Nik Rozali menggunakan dua tong gas pada satu masa berasa lega kerana masih dapat menikmati subsidi LPG.

Walaupun peniaga kecil yang menggunakan LPG dalam kuantiti yang dibenarkan tidak akan dikenakan tindakan selagi mematuhi garis panduan, namun pelaksanaan ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peniaga kecil, penjaja dan masyarakat awam.

Peniaga mi celup, Nik Rozali Nik Ab Rahman, 59, mengakui pada awalnya gusar perniagaannya akan terjejas kerana hanya bergantung kepada dua tong gas LPG 14 kilogram (kg) untuk operasi harian.

“Saya memang khuatir, tetapi setelah diberi penerangan yang tepat, saya kini faham bahawa OPS Gasak tidak menyasarkan peniaga kecil seperti saya yang hanya guna dua tong gas,” katanya.

Sementara itu, Nur Aida Mohd Sabri, 40, peniaga nasi berlauk dari Kampung Sentosa, berkata dia hampir terpengaruh dengan komen tidak berasas di media sosial.

Nur Aida mendengar penjelasan berkenaan OPS Gasak.

“Kami menyangka perlu mohon permit tambahan, tetapi maklumat sebenar menyatakan peniaga kecil yang menggunakan tidak lebih daripada tiga tong LPG pada satu-satu masa tidak diwajibkan berbuat demikian,” ujarnya dengan nada lega.

Sebagai langkah proaktif menangani salah faham dan maklumat tidak sahih, Pejabat Penerangan Daerah Bachok tampil ke lapangan menerusi Info On Wheels (IOW) untuk menyampaikan penjelasan secara langsung kepada komuniti setempat.

“Ramai peniaga kecil khuatir kerana salah faham bahawa semua pengguna LPG perlu mohon Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB). Kenyataan ini tidak benar,” tegas jurucakap IOW Farzliana Abdul Ghaffar, 41, ketika sesi penerangan di Kampung Budi, di sini semalam.

Orang ramai disarankan mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi seperti kementerian berkaitan, agensi penguatkuasa, laman media sosial rasmi atau aplikasi WhatsApp Chatbot AIFA (03-86887997).

-ZS-

Tinggalkan komen anda