
Laporan/foto: Iswandi Kassim
SRI AMAN, 10 Jun (MalaysiaAktif) – “Kolaborasi antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dan komuniti setempat diteruskan sebagai medium memperkukuh ukhuwah serta menyemai nilai ihsan dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat,” kata Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiyuddin.

Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman.
Beliau, berkata ketika ditemui di Program Ibadah Korban anjuran PPD Sri Aman dengan kerjasama Jawatankuasa Korban Kampung Tengah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah, di sini kelmarin.
“Kerjasama ini membuktikan institusi pendidikan bukan sahaja memainkan peranan dalam pembangunan akademik, tetapi juga proaktif menyantuni masyarakat melalui program berunsur keagamaan dan sosial,” jelasnya.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Korban Kampung Tengah atas kerjasama erat yang diteruskan buat kali kedua dalam menjayakan program berkenaan.

Agihan bahagian korban kepada peserta.
Sebanyak dua ekor lembu dikorbankan dalam program berkenaan dengan penyembelihan dan pelapahan daging dilaksanakan secara bergotong-royong oleh warga pendidik bersama penduduk Kampung Tengah yang kemudiannya diagihkan kepada peserta serta penerima yang layak.
-ZS-