Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Komuniti MADANI Memperkukuh Peranan melalui Program Sembang Santai Gotong-Royong Muhibah

By 26 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, telah menganjurkan Program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai dan Gotong-Royong Muhibah yang berlangsung di sekitar kampung Orang Asli Tanjung Sepat dan Pantai Cunang, di sini kelmarin.

Program menghimpunkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada penduduk kampung, Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), KRT Taman Mutiara Tanjung Sepat serta Komuniti MADANI setempat.

Anggota Skuad PANTAS MPKL sedang memotong pokok rhu yang tumbang ekoran ribut yang melanda Pantai Cunang.

Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Encik Ah Beng yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penganjur, inisiatif gotong-royong ini dilaksanakan susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 7 Jun lalu yang menyebabkan banyak pokok rhu tumbang, sekali gus mencacatkan keindahan kawasan pantai dan kampung.

“Program ini diadakan bagi membersihkan kawasan kampung, balai raya dan Pantai Cunang yang menjadi tarikan utama masyarakat Orang Asli suku Mah Meri.

“Kami amat berbesar hati melihat kerjasama erat yang terjalin antara penduduk kampung dan agensi kerajaan,” ujarnya.

Pantai Cunang terkenal dengan pasir putih dan suasana yang tenang, turut dikenali sebagai lokasi bersejarah dan budaya kerana dihiasi dengan pelbagai dekorasi serta binaan tradisional hasil tangan Komuniti Mah Meri.

Penduduk Kampung Orang Asli Tanjung Sepat bergambar kenangan setelah aktiviti gotong-royong.

Terletak dalam kawasan Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, pantai ini hanya boleh diakses melalui jalan kecil yang merentasi kampung.

Walaupun tiada kedai atau restoran berhampiran, kemudahan asas seperti tandas dan pondok pameran komuniti tersedia untuk pengunjung.

Waktu lawatan terbaik adalah pada waktu siang kerana pantai ini ditutup pada pukul 8.00 malam.

Walau bagaimanapun, aktiviti mandi-manda dan sukan lasak tidak digalakkan kerana keadaan kawasan berpaya serta akar pokok yang timbul ketika air surut boleh membahayakan.

Program ini bukan sahaja berjaya menceriakan semula kawasan yang terjejas, malah memperkukuh hubungan antara Komuniti Orang Asli dan agensi luar dalam semangat MADANI yang penuh harmoni.

-ZS-

Tinggalkan komen anda