
Laporan/foto: Mahmuddin Mahlil
PASIR MAS, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Cabang 4 Tendong terus berusaha memastikan penduduk setempat mendapat akses kepada maklumat yang tepat, pantas dan sahih, seiring perkembangan teknologi maklumat masa kini.
Tidak lagi hanya bergantung kepada kaedah tradisional seperti pembesar suara atau kain rentang, komuniti itu kini giat memanfaatkan pelbagai platform digital termasuk Facebook, WhatsApp, TikTok dan Telegram untuk menyebarkan informasi rasmi berkaitan dasar kerajaan, peluang bantuan serta isu-isu semasa.

Ketua Komuniti MADANI Cabang 4 Tendong.
Ketua Komuniti MADANI Mat Zaid Junoh berkata penggunaan media sosial terbukti lebih efektif dalam menyampaikan maklumat khususnya kepada golongan muda yang lebih celik teknologi.
“Penduduk hari ini lebih pantas menerima berita melalui telefon pintar. Namun, kita pastikan semua maklumat ditapis dan disahkan terlebih dahulu sebelum dikongsi bagi mengelakkan kekeliruan atau penularan berita palsu,” katanya selepas Program JIWA@Komuniti Sembang Santai, di sini pagi tadi.
Menurutnya setiap kampung di bawah Cabang 4 Tendong mempunyai pentadbir kumpulan WhatsApp yang bertanggungjawab memastikan hanya maklumat sahih dan rasmi disalur kepada penduduk.
Timbalan Ketua Komuniti MADANI Rusnah Ab Rahman berkata komuniti mereka aktif mengadakan sesi siaran langsung di Facebook serta mengedarkan poster digital berkaitan isu semasa seperti subsidi, bantuan bencana dan dasar kerajaan.

Sesi penerangan dan perkongsian maklumat berkaitan oleh Pegawai Penerangan Daerah Pasir Mas.
“Kami dapati pendekatan ini lebih berkesan kerana penduduk boleh terus bertanya dan mendapat penjelasan daripada wakil komuniti. Ini membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap maklumat yang diterima,” katanya.
Usaha proaktif Komuniti MADANI Cabang 4 Tendong itu mendapat pujian penduduk yang menghargai kemudahan akses maklumat yang lebih telus dan dipercayai.
Malah, komuniti tersebut merancang untuk memperluas latihan celik digital melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan penyampai maklumat yang berwibawa.
Langkah tersebut dilihat seiring dengan matlamat kerajaan dalam memerangi penularan berita palsu dan membina masyarakat yang lebih berinformasi serta bersatu padu.
-FN-