
Laporan/foto: Siti Aminah Abdullah/Norfatihah Abd Jamin (Kinta)
IPOH, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti Taman Perak dan kawasan sekitar disaran memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di Pusat Sebaran Maklumat (NADI) serta menjadikannya sebagai lokasi penyebaran ilmu.

Jenny menyempurnakan gimik perasmian.
“Saya ingin menyeru seluruh pemimpin komuniti, anak muda dan penduduk di sini bagi menggerakkan kemudahan NADI secara aktif dan berharap agar premis ini menjadi pusat sebaran maklumat, ilmu dan kemajuan digital untuk seluruh komuniti.
“Menyatukan kita dalam satu semangat demi membina sebuah masyarakat celik digital, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran dunia teknologi yang semakin pesat,” ujar Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Canning Jenny Choi Tsi Jen ketika menyempurnakan Majlis Perasmian NADI Taman Perak, di sini kelmarin.
Menurut Penolong pengurus NADI Taman Perak Aina Nadhirah Hamidi, pihak NADI Taman Perak membuka ruang untuk semua lapisan masyarakat bagi menggunakan kemudahan yang disediakan.

Ucapan aluan oleh Mohd Irwan.
“Saya amat gembira dan berharap agar perasmian ini dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk menikmati kemudahan yang disediakan di NADI, bukan sekadar dapat mengakses Internet, tetapi juga berfungsi sebagai pusat rujukan, pembelajaran dan sokongan digital kepada komuniti setempat,” katanya.
Antara pengisian program adalah taklimat Aktiviti Internet Selamat (KIS), edaran bahan penerbitan dari Jabatan Penerangan, tayangan montaj video kompilasi perkhidmatan Pintar NADI Taman Perak, Pendaftaran MyDigital ID, saringan kesihatan, reruai usahawan NADI dan agensi telekomunikasi, pertandingan mewarna serta cabutan nombor bertuah.
Turut hadir Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee Chuan How, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia Mohd Irwan Mohamed, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin dan agensi serta rakan startergik di bawah Kementerian Komunikasi.
-ZS-