Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KPDN Selangor Gempur Kilang Detergen Tiruan, Rampasan Cecah Hampir RM30,000

By 33 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor

RAWANG, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas 2,120 botol bahan pencuci pakaian (detergen) disyaki tiruan di sebuah kilang dalam satu operasi gempur, di sini semalam.

Operasi yang dijalankan sekitar pukul 2.00 petang itu melibatkan seramai 10 anggota penguat kuasa KPDN Gombak bersama wakil pemilik cap dagangan yang terlibat.

Antara bahan pencuci disyaki tiruan disita pihak KPDN Selangor untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor Mohd Hanizam Kechek, anggaran nilai rampasan mencecah RM29,680 dan semua barangan telah disita untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkaitan perlindungan harta intelek.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang menggunakan cap dagang secara salah atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda maksimum bagi kesalahan pertama ialah RM15,000 setiap barang dan bagi kesalahan berikutnya, RM30,000 setiap barang.

Sejumlah 2,120 botol bahan pencuci pakaian (detergen) disyaki tiruan bernilai RM29,680 dirampas dari sebuah kilang dalam satu operasi gempur di Rawang.

“KPDN Selangor akan terus komited menggempur pihak-pihak yang melanggar undang-undang, khususnya dalam isu pelanggaran harta intelek dan manipulasi barangan kawalan bersubsidi.

“Orang awam boleh menjadi sebahagian daripada gerakan massa melalui inisiatif KITA GEMPUR, dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti tidak beretika atau melanggar undang-undang melalui,” ujarnya.

Katanya, maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp 019-848 8000, talian 03-8882 6088/6245, portal e-aduan.kpdn atau aplikasi Ez-Adu KPDN.

-ZS-

Tinggalkan komen anda