Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Lebih 10,000 Kunjungi Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak 2025

By 25 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ Foto : Norhafizah Yusof (Sarawak)/ Lee Nyuk Lan (Sarawak)

LIMBANG, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung di Dewan Suarah Limbang dari 12 hingga 15 Jun telah berjaya menarik perhatian masyarakat setempat dan pengunjung dari luar kawasan dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang acara itu.

Antara replika alat kebesaran dan sejarah Yang di-Pertuan Agong terdahulu, iaitu Cogan Alam.

Acara tersebut telah diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan merupakan kali pertama ia dianjurkan di Limbang dengan kerjasama Jabatan Muzium Negara Malaysia, Jabatan Penerangan Sarawak dan Pejabat Residen Bahagian Limbang.

Pameran tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan pemahaman rakyat terhadap sejarah dan peranan Institusi Diraja dalam sistem pemerintahan Malaysia.

Rohana -Pameran diraja perkukuh kesedaran rakyat terhadap Institusi Diraja.

Pelbagai koleksi diraja, termasuk replika alat kebesaran dan sejarah Yang di-Pertuan Agong terdahulu, telah dipamerkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan institusi ini.

Menurut Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Rohana Husin, pameran ini bukan sahaja mempamerkan koleksi bersejarah, malah berperanan sebagai platform pendidikan untuk generasi muda.

“Kami berharap pameran ini dapat memperkukuh kesedaran rakyat terhadap Institusi Diraja sebagai lambang perpaduan dan keadilan negara. Buat pertama kalinya, pihak muzium turut mempamerkan replika alat kebesaran diraja yang menjadi tarikan utama pengunjung,” ujarnya.

Seorang pengunjung, Norliyana Mohd Faizul, 37, melahirkan rasa teruja terhadap pameran yang dianggap sebagai satu peluang berharga.

Norliyana teruja melihat koleksi diraja yang dipamerkan buat julung kalinya di Limbang.

“Saya sangat teruja melihat koleksi diraja yang dibawa ke Limbang dan ia adalah peluang yang jarang berlaku untuk kami memahami lebih mendalam tentang sejarah dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan negara,” katanya ketika ditemui di lokasi pameran.

Selain pameran utama, pelbagai acara sampingan turut diadakan sepanjang sambutan, termasuk Majlis Kesyukuran pelbagai agama, konsert artis tempatan serta Majlis Jamuan Teh bersama Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak.

Kehadiran pengunjung dari Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah turut dilihat dapat meningkatkan ekonomi penjaja-penjaja masyarakat Limbang sempena majlis tersebut.

Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak 2025 telah membuktikan kejayaannya sebagai satu platform penting dalam memperkukuh semangat kenegaraan dan perpaduan rakyat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda