
Laporan/foto: Haimi Haris/Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 3 Jun (MalaysiaAktif) –Titian Kasih 2025, perhimpunan buat julung kalinya waris Haji Ismail Abdul Hamid dan Kelsom Juman berjaya menghimpunkan seramai 303 ahli keluarga di Dewan Temenggong, Kompleks Kediaman Polis Pekan, di sini Ahad lalu.

Tahlil arwah turut diadakan bagi memperingati ahli keluarga yang telah pergi bertemu Ilahi.
Perhimpunan yang penuh emosi ini menyaksikan kehadiran lima generasi, menandakan ikatan kekeluargaan yang utuh dan berpanjangan.
Program Titian Kasih 2025 merupakan inisiatif untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan waris Haji Ismail dan Kelsom, yang kini telah berkembang merangkumi pelbagai cabang keluarga di seluruh negara.
Suasana dewan dipenuhi gelak tawa dan perbualan hangat, menyaksikan ahli keluarga dari pelbagai usia berinteraksi, berkongsi cerita, dan mengenali sanak saudara yang mungkin belum pernah ditemui.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ahmad Nizam Abidin dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan perhimpunan ini.

Acara sukaneka yang mendapat sambutan meriah.
“Alhamdulillah, impian kita untuk melihat seluruh waris Haji Ismail dan Kelsom bersatu di bawah satu bumbung akhirnya tercapai denham kehadiran seramai 303 orang dari lima generasi membuktikan betapa kuatnya akar kekeluargaan kita,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perhimpunan seperti ini dalam memelihara warisan keluarga dan nilai-nilai murni yang diwarisi daripada nenek moyang.
“Program ini bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi merupakan platform untuk kita menyambung kembali tali persaudaraan yang mungkin terputus dek jarak dan masa.
“Semoga Titian Kasih ini akan menjadi acara tahunan yang akan terus mengukuhkan hubungan kita,” katanya.
-ZS-