
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Lorong Seni yang terletak di antara dua blok bangunan di Jalan Negara Kita kini muncul sebagai ruang publik baharu hasil penaiktarafan yang dibiayai menerusi peruntukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

Amirudin bergambar bersama pemenang pertandingan Larian Melawati Ekiden sempena majlis perasmian Pesta Kopi Melawati dan Lorong Seni Jalan Negara Kita
Dahulunya merupakan lorong biasa kini menjadi lokasi menarik untuk bergambar, lepak santai, serta beriadah bersama keluarga.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan kefahaman mendalam terhadap seni, budaya dan gaya hidup masyarakat urban, malah selari dengan nilai perancangan bandar moden yang mesra rakyat.

Lorong Seni di Jalan Negara Kita, Taman Melawati ditransformasi daripada lorong biasa menjadi tarikan orang ramai
“Tempat seperti ini bukan sekadar laluan, ia jadi nadi komuniti.
“Mereka boleh rasa vibe tempat ini dari aktiviti seni sampai ke gerai kopi tempatan, kita sendiri kalau melancong nak tengok spot macam ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Kopi Melawati 2025 dan Lorong Seni Jalan Negara Kita di Taman Melawati, hari ini.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Mohd Kamri Kamaruddin dan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli.
Tambahnya, usaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam memberikan komitmen penuh menjayakan projek ini wajar dipuji kerana berjaya menghidupkan konsep ruang urban yang fleksibel dan berjiwa.
Antara aktiviti yang telah dianjurkan sebelum ini ialah malam puisi, jamming muzik jazz, persembahan gamelan serta bengkel seni, kraf dan pelbagai lagi.
Lorong Seni, Jalan Negara Kita yang turut diindahkan dengan lukisan mural merupakan salah satu lokasi tarikan yang diketengahkan di kawasan Ampang.
-AA-