
Laporan/foto: Sumardi Sugiman /Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Majlis Rumah Terbuka Gawai Serembu 2025 yang memaparkan dan mengangkat budaya dan warisan komuniti Serembu telah berlangsung meriah di Dewan Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu di sini.

Henry berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Gawai Serembu 2025 di sini semalam.
Majlis tersebut menyaksikan kehadiran pengunjung dari kawasan tersebut dan kawasan berdekatan meliputi pelbagai bangsa, latar belakang dan usia menyaksikannya bersama keluarga dan rakan-rakan, di sini, semalam sekali gus memperlihatkan semangat kekeluargaan dan kekitaan mereka.
Majlis telah berlangsung selama dua dengan pelbagai aktiviti menarik yang menyatukan komuniti di kawasan tersebut sambil pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan hiburan dan kebudayaan selain Pertandingan Dayung Sangon dan Dari Pogan Serembu 2025 serta menikmati pelbagai menu makanan tradisional dan moden.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep telah berucap menyempurnakan majlis tersebut, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh.

Persembahan kebudayaan menyerlahkan warisan Komuniti Serembu tarikan utama Majlis Rumah Terbuka Gawai Serembu 2025.
Henry dalam ucapanya memberitahu pembangunan pesat di kawasan Serembu dan Tasik Biru menjadikan daerah ini berpotensi menjadi destinasi pelancongan menarik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa yang akan memberi impak positif kepada sosio-ekonomi penduduk setempat.
“Sebaik sahaja siapnya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQR) Serikin nanti, Bau dijangka menjadi bandar transit utama yang mampu memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelancongan serantau sekali gus memberi impak positif kepada sosioekonomi penduduk setempat,” ujar Henry.

Peserta Pertandingan Dayung Sangon dan Dari Pogan Serembu 2025 bergambar beramai-ramai sempena Rumah Terbuka Gawai Serembu 2025.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut dan menyatakan program itu bukan perayaan biasa tetapi platform penting mengangkat budaya dan warisan komuniti Serembu.
“Dewan ini merupakan asat baharu kepada komuniti Serembu yang mampu menarik kehadiran pengunjung apabila melaksanakan pelbagai aktiviti atau program,” jelas Miro.
-RJ-