
Laporan/foto: Norshahira Mohd Nasir
KOTA BHARU, 17 Jun (MalaysiaAktif) β Aktiviti sukan permotoran berbentuk rekreasi kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Kota Bharu apabila MOS Karting, pusat permainan gokart tertutup pertama di bandar ini, menjadi tumpuan anak muda dan peminat aktiviti lasak.
Terletak di ruang bawah tanah Bazar Tengku Anis, MOS Karting menawarkan kelainan dengan menyediakan trek gokart dalam bangunan yang selamat dan terlindung daripada cuaca panas atau hujan.

MOS Karting, Bazar Tengku Anis Kota Bharu.
Reka bentuk trek yang mencabar tetapi selamat menjadikan ia sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk mereka yang baru pertama kali mencuba sukan ini.
Pengusaha MOS Karting, Sharafi Saupi, 36, berkata inisiatif membuka pusat ini bertujuan menyediakan alternatif hiburan dan sukan riadah yang lebih sihat kepada masyarakat setempat.
“Kami percaya aktiviti seperti ini dapat menggalakkan golongan muda mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan.
“Sejak mula dibuka, MOS Karting telah mendapat sambutan positif bukan sahaja daripada penduduk Kota Bharu, malah turut menarik perhatian pengunjung dari daerah sekitar,” katanya.
Menurutnya lagi, ramai yang hadir untuk merasai sendiri pengalaman gokart dalam suasana yang berbeza berbanding trek luar bangunan.
Pusat gokart ini beroperasi setiap hari bermula pukul 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam, memberi ruang kepada pengunjung untuk memilih masa yang sesuai mengikut keselesaan masing-masing.
Selain itu, kemudahan dalam bangunan ini turut menyediakan suasana sejuk dan selesa, sekali gus menambah daya tarikan kepada mereka yang ingin beriadah tanpa perlu bimbang tentang keadaan cuaca.
Menurut seorang pengunjung, Muhammad Afiq, 24, beliau mengetahui tentang kewujudan MOS Karting menerusi hantaran di media sosial.
Tertarik dengan konsep gokart dalam bangunan, beliau mengambil peluang mencuba bersama rakan-rakannya.

Kenderaan gokart yang disediakan kepada pengunjung.
βIni kali pertama saya mencuba gokart dalam bangunan. Laluan trek memang menarik dan mencabar. Suasananya pun selesa sebab tidak panas dan harga yang ditawarkan berbaloi untuk pengalaman seperti ini,β katanya ketika ditemui.
Selain menawarkan keseronokan, MOS Karting juga menjadi platform bagi anak muda mengasah kemahiran asas pemanduan dalam suasana terkawal.
Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman memandu kenderaan berkuasa tanpa perlu berada di jalan raya, sekali gus memupuk minat dalam bidang permotoran secara lebih bertanggungjawab.
MOS Karting kini dilihat sebagai antara tarikan baharu dalam landskap sukan dan riadah di Kota Bharu, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk mengenali dan menghargai sukan permotoran rekreasi secara lebih dekat dalam suasana yang selamat dan terkawal.
-ZS-