
Laporan/foto: Muhaimin Musa/Muhammad Azrul Hafiz
KUALA LUMPUR, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Kuala Lumpur kini memiliki sebuah mercu tanda baharu yang bukan sahaja memukau mata malah sarat dengan makna tersirat.

Sebahagian daripada gambar mural yang menerapkan elemen bagi memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum
Mural Batik MADANI, sebuah karya seni berskala besar yang dirasmikan semalam telah menghiasi Zon Jejak Pahlawan di Jalan Parlimen sekaligus menjadikannya mural batik terbesar di Malaysia.
Majlis perasmian mural tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Mural ikonik ini mempunyai ukuran sepanjang 183 meter dan setinggi enam meter meliputi keluasan lebih 1,100 meter persegi.
Ia adalah hasil kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Berjaya Group Berhad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Tan Sri Vincent Tan membuat gimik mewarnakan Mural Batik MADANI
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, dalam ucapannya menekankan bahawa mural ini bukan sekadar lukisan.
“Objektif utama mural ini adalah untuk menyampaikan naratif kebangsaan yang inklusif serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” kata beliau.
Datuk Seri Maimunah turut menjelaskan bahawa projek ini merupakan contoh terbaik bagi model Public, Private, People and Partnership (4P), yang menjadi tunjang kepada pembangunan bandar yang mampan dan kolaboratif.
Datuk Seri Maimunah juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pereka mural berbakat di sebalik karya agung ini, Arif Rafan Osman, Izad Ali, dan Fazlan Rizan Johani. Dedikasi mereka dalam menterjemahkan rekaan mural dengan teliti di atas dinding yang luas ini sangat dihargai.
Mural Batik MADANI menampilkan elemen batik kontemporari yang kaya dengan simbolisme, mengikat warisan dengan kesinambungan antara tradisi dan masa depan.
Ia juga dilihat sebagai titik tumpuan penting dalam jaringan Green Connector Kuala Lumpur iaitu salah satu projek utama DBKL yang menyatukan ruang hijau, tapak warisan dan kawasan tumpuan awam.
Sebagai persediaan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, Datuk Seri Maimunah berharap agar warga kota menghargai dan bersama-sama menjaga lukisan mural ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Kuala Lumpur akan terus memainkan peranan sebagai medan keterbukaan budaya, dialog serantau dan inovasi bandar, serta Mural Batik MADANI adalah salah satu langkah utama ke arah itu.
Mural Batik MADANI bukan sahaja menambah nilai estetik kepada ibu kota tetapi juga menjadi peringatan visual tentang kepentingan perpaduan dan kekayaan budaya Malaysia.
-AA-