
Laporan/foto: Syafiq Saleh (Selangor)/PIBG SKPP
BANDAR BARU BANGI, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Dua murid mewakili daerah Petaling Perdana di Majlis Hikmah Pentas Madani berjaya mengungguli johan dalam acara Tilawah al-Quran peringkat Negeri Selangor bagi kategori lelaki dan perempuan, sekali gus mengharumkan nama daerah Petaling Perdana.
Fatin Humaira Ahmad Adlin Hakimi, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana (SKPP) mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Tilawah Al-Quran bagi kategori perempuan.
Menurut ibunya, Noorazila Zakaria, 40, beliau bersyukur dan bangga dapat melihat kejayaan Fatin Humaira dalam bidang taranum Al-Quran.

Fatin Humairah bergambar bersama guru pembimbing, Afifuddin Azizan (kiri) dan Kasyful Azhim Khair (dua kanan) Johan Tilawah Al-Quran Kategori Lelaki.
“Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru SKPP kerana membantu menggilap bakat anak saya sampai ke tahap ini.
“Fatin Humaira banyak belajar lagu-lagu taranum daripada video taranum dan guru di sekolah, sentiasa mendengar bacaan supaya sebutan dan bacaan tajwid adalah betul antara rutin anak saya,” ujarnya.
Sementara itu, guru pembimbing dan jurulatih, Afifuddin Azizan, 34, meluahkan rasa syukur atas kejayaan anak muridnya yang telah merangkul tempat pertama.
“Saya menyaksikan sendiri kesungguhan, disiplin dan ketekunan Fatin dalam menjalani sesi latihan secara konsisten.
“Latihan bukan sahaja tertumpu pada tajwid dan lagu, malah turut merangkumi penghayatan, adab tilawah dan kekuatan mental dalam menghadapi pertandingan,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan pihak sekolah, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus mencintai al-Quran dan menjadikan bacaan al-Quran sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang tilawah dan dakwah al-Quran,” katanya.
Kejayaan ini sekali gus melayakkan Fatin Humaira untuk mewakili Negeri Selangor ke Peringkat Kebangsaan, yang dijadualkan berlangsung di Negeri Melaka pada bulan Julai nanti.
Pertandingan Tilawah Al-Quran ini merupakan sebahagian daripada Majlis Pentas Hikmah Madani sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Negeri Selangor yang telah berlangsung pada 17 dan 18 Jun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi.
-ZS-