
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Program Karnival Kerjaya, Pendidikan dan Keusahawanan MYFutureJobs PERKESO Negeri Perlis yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Perlis, hari ini, amat relevan pada masa kini dalam usaha untuk memperkukuh ekosistem pekerjaan, pendidikan dan keusahawanan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail (tengah) merasmikan Program Karnival Kerjaya, Pendidikan dan Keusahawanan, MyFutureJobs PERKESO Negeri Perlis
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail ketika merasmikan program tersebut, berkata karnival ini bukan sekadar platform pencarian kerja, tetapi juga satu medan untuk membina masa depan, sama ada melalui peluang kerjaya, pendidikan lanjutan, mahupun bidang keusahawanan yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.
Ujarnya, PERKESO bukan sahaja dikenali sebagai agensi keselamatan sosial, malah turut memainkan peranan yang amat penting dalam membantu rakyat, khususnya di Negeri Perlis, untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Rahimi Ismail melawat reruai pencari kerja sempena Program My FutureJobs 2025
“Melalui platform MYFutureJobs, PERKESO
menyediakan khidmat kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan, latihan kemahiran serta bimbingan secara berterusan kepada golongan pencari kerja dan PERKESO turut melaksanakan pelbagai program
sokongan seperti Program Penempatan Pekerjaan, dan Inisiatif Kerjaya Madani,” jelasnya.
“Saya menyeru semua belia atau pencari kerja mengambil peluang di program ini kerana terdapat lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 25 syarikat merangkumi pelbagai sektor seperti perkilangan, perkhidmatan, teknologi maklumat,
pertanian moden dan sebagainya sepanjang dua hari program ini berlangsung di Dewan Warisan dan ini menunjukkan bahawa peluang sentiasa wujud, cuma ia perlu dicari dan dimanfaatkan,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri Perlis sangat menekankan kepada pembangunan modal insan sebagai salah satu tonggak utama dalam Pelan Strategik Perlis Maju 2030.
Turut hadir Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Datuk Asri Ab Rahman dan Ahmad Firdaus Hashim, selaku Pengarah PERKESO Negeri Perlis,
-AA-