Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

NACCOL Tawar 100 Lembu Termurah, Galak Tunai Ibadah Korban

By 5 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor

BUKIT MERTAJAM, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak 100 ekor lembu ditawarkan pada harga RM2,793 seekor dan RM399 setiap bahagian di kawasan Permatang Pauh bagi membantu meringankan beban orang ramai melaksanakan ibadah korban.

Shamsul Iskandar menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Tapak Pasar Malam Taman Arowana.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata inisiatif yang dilaksanakan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu merupakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya ambil contoh pihak Masjid Kubang Ulu, mereka beli 17 ekor lembu yang kebiasaannya RM95,000, tetapi kali ini mereka dapat membeli dengan harga RM47,000, separuh dari harga pasaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Tapak Pasar Malam Taman Arowana, di sini kelmarin.

Shamsul Iskandar Mohd Akin (lima dari kiri) bergambar bersama sebahagian peserta Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh.

Shamsul Iskandar berkata program di Permatang Pauh itu dilaksanakan sebagai projek perintis agar dapat diteruskan dan diselaraskan di peringkat agensi-agensi kerajaan bersama-sama NACCOL untuk diperluaskan di seluruh negara pada tahun hadapan.

Menurutnya lagi, lembu-lembu berkenaan diperoleh secara pukal melalui kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Johor dan Johor Plantations Group Berhad.

Menerusi program itu, 40 kawasan di Parlimen Permatang Pauh termasuk anak kariah masjid, surau, pusat tahfiz, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membeli telah menerima agihan lembu korban.

Sementara itu, Zulkifli Mohamed, 60, bendahari Masjid Kubang Ulu, berkata beliau mendapat tahu mengenai program melalui penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti yang membuat tawaran kepada masjid-masjid sekitar Permatang Pauh.

“Bila dapat peluang tawaran dengan harga istimewa ini, saya telah uar-uarkan kepada semua ahli kariah dan Alhamdulillah ramai yang berminat.

“Dengan harga begini memang ramai yang berkemampuan untuk tunaikan ibadah korban,” katanya.

Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Ridzuan Nut Jamudin, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang tidak terkecuali menyambut baik seruan kerajaan.

“Kami berterima kasih kepada NACCOL kerana memberi peluang sebagai salah satu jabatan yang menerima agihan lembu termurah ini dan Alhamdulillah sebanyak enam ekor lembu telah dibeli untuk program korban tahun ini,” katanya yang juga merupakan urus setia Program Ibadah Korban Perdana JBPM Peringkat Negeri tahun ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda