
Laporan/Foto: Nurhayati Abdul Halim (Sarawak)
MATU, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Daerah Matu semalam telah mengikuti Program Pengenalan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) di bawah inisiatif NADI AI, hasil kerjasama antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Penerangan Daerah Matu.

Norlia Morshidi (kiri) gigih mengikuti sesi asas pengucapan awam dalam Program Mini Asas Penerangan yang berlangsung semalam.
Program ini bertujuan memperkasakan komuniti sebagai pengguna dan penyampai maklumat digital yang sahih, interaktif dan beretika. Ia juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk membentuk masyarakat berpengetahuan, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Jemoreng, Norlia Morshidi, 60, berkongsi bahawa pada awalnya beliau menganggap AI sekadar alat teknikal. Namun kini beliau berjaya memanfaatkan teknologi seperti Canva AI bagi menghasilkan bahan promosi perniagaan homestay miliknya.
“Saya baru memulakan perniagaan homestay. Inisiatif ini sangat membantu saya, terutamanya dalam menghasilkan poster promosi dengan mudah dan cepat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Tian, Faridah Shaminan, 41, menegaskan kepentingan penggunaan AI secara beretika.

Faridah Shaminan (kiri) tekun mempelajari penggunaan Canva AI secara dalam talian untuk tujuan promosi perniagaan.
“Saya berharap AI tidak disalahgunakan untuk mencipta cerita palsu atau menyebarkan fitnah. Dalam komuniti kecil, berita palsu mudah dipercayai dan boleh mencetuskan konflik. Kita perlu pastikan AI digunakan untuk manfaat, bukan mudarat,” katanya.
Dalam program yang dijalankan secara serentak di NADI Daro, turut diadakan Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penyampaian maklumat yang tepat dan beretika serta memperkukuh kemahiran berkaitan AI dalam kalangan peserta.
Turut hadir dalam program ini ialah Helmy Hamid, Pengarah Penerangan JAPEN Sarawak, Shaiful Sandi, Pengarah MCMC Bintulu, Nur Amira Saad, Timbalan Pengarah, MCMC HQ Cyberjaya, Muhammad Faidhi Guli, Penolong Pengarah, MCMC HQ Cyberjaya dan Noorly Iza Amir Roslan, Pegawai Perkhidmatan, MAXIS Kuala Lumpur.
-RJ-