Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

NADI Kampung Labi Tualak Perkasa Usahawan Kecil Padang Terap

By 6 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Azrul Abdullah (Padang Terap)

KUALA NERANG, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Nasional (NADI) Kampung Labi Tualak semakin memainkan peranan strategik dalam memperkasa usahawan kecil di daerah Padang Terap menerusi pelbagai program pembangunan ekonomi dan digitalisasi komuniti.

Noor Hidayah menyampaikan maklumat berkenan ‘Subsidi Gas Memasak dan Rasionalisasi Cukai SST’.

Sebagai salah satu inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pusat ini berfungsi sebagai hab sehenti bagi penyebaran maklumat kerajaan serta pusat sokongan kepada komuniti luar bandar terutamanya dalam bidang keusahawanan.

Menurut Pengurus NADI Kampung Labi Tualak Fatimah Hanisah Abdul Manaf, 29, selain menyediakan kemudahan capaian Internet dan ruang kerja bersama, NADI turut aktif menganjurkan bengkel keusahawanan digital serta latihan pemasaran melalui media sosial.

“Ini bagi memastikan usahawan kecil di kawasan luar bandar seperti Padang Terap berupaya memasarkan produk mereka secara lebih luas dan berdaya saing,” ujarnya, semalam.

Menurut usahawan tempatan yang mengusahakan perniagaan makanan tradisional seperti kuih karas dan pekasam Norazura Mat Isa, 55, pelbagai perubahan positif telah dialaminya selepas menyertai kursus di NADI.

“Dulu saya hanya jual sekitar kampung. Sekarang dah pandai guna Facebook dan e-Dagang.

“NADI banyak bantu, dari cara ambil gambar produk, sehinggalah ke teknik buat siaran langsung,” katanya dengan penuh semangat.

Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama Komuniti Madani KEDA Pasir Putih yang bertindak sebagai rakan strategik dalam membina jaringan sosial yang inklusif.

Ahli Komuniti MADANI KEDA Pasir Putih sedang khusyuk mendengar taklimat dan perkhidmatan yang ditawarkan dan kejayaan yang telah dicapai.

Ketua Komuniti MADANI KEDA Pasir Putih Mat Din Mat Ariffin, 65, menegaskan pendekatan holistik sebegini bukan sekadar bergantung kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pemerkasaan ilmu dan pembangunan komuniti.

“Madani bukan hanya slogan. Ia dihidupkan melalui tindakan nyata seperti ini, mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan memperkasakan usahawan kecil dengan ilmu dan kemahiran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Penerangan turut memainkan peranan penting melalui sesi taklimat dan pencerahan berkaitan dasar-dasar kerajaan, termasuk isu subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) yang sering menjadi perhatian di kawasan luar bandar.

Kejayaan model pelaksanaan di Kampung Labi Tualak kini boleh dilihat sebagai contoh yang baik dalam pembentukan ekosistem desa digital yang berdaya maju, sekaligus menjadi pemangkin kepada perubahan positif di kawasan luar bandar seiring aspirasi Malaysia MADANI.

-ZS-

Tinggalkan komen anda