
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hairie Izwan Awang (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana di Padang Bola Kampung Gong Kijang bertukar meriah dan penuh gelak tawa apabila sekumpulan ‘otai’ bola sepak tempatan kembali menyarung ‘boot’ (kasut bola sepak) dalam Pertandingan Sepak Penalti Veteran, anjuran Komuniti MADANI Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini kelmarin.

Daud, berkata usia emas ini tidak menghalang beliau untuk terus aktif menyertai program dan aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan manfaat kesihatan dirinya.
Walaupun rata-rata peserta berusia lebih 50 tahun, semangat juang mereka setanding pemain profesional. Sorakan lebih 200 penonton bergema setiap kali sepakan diambil, penuh semangat dan menghiburkan.
Salah seorang peserta Khairuddin Yusuf, 51, mencuri perhatian apabila sepakan derasnya yang dilakukan bersahaja tersasar ke arah penjaga garisan.
Beliau hanya tersenyum dan melambai tangan seperti seorang lagenda padang.
“Lama dah tak pegang bola, tapi demi kejiranan dan kesihatan, saya turun padang juga. Seronok dapat bergelak ketawa macam ni,” katanya.
Lebih menghiburkan, aksi Daud Othman, 53, yang sudah 20 tahun gantung ‘boot’, namun masih berbisa.
Gayanya berlari ala pelakon filem aksi membuatkan penonton tidak kering gusi lebih-lebih lagi apabila sepakannya hampir membolosi jaring.
Turut mencuri tumpuan ialah Ketua Balai Polis Manir Kamaruzaman Muda, yang turut menyertai pertandingan dan berjaya menjaringkan gol dengan sepakan ke sudut gawang yang cukup bergaya.

Peserta warga emas menerima sumbangan berupa makanan asas dalam pertandingan sepak penalti.
“Program seperti ini bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi juga merapatkan hubungan antara agensi dan komuniti,” ujarnya selepas tamat acara.
Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Gong Kijang Mohd Sukri Nawi, pertandingan ini adalah sebahagian daripada Program Harmoni Komuniti bagi memupuk gaya hidup sihat dan semangat perpaduan.
“Kami nak tunjuk bahawa golongan veteran bukan sekadar duduk di rumah. Mereka masih bertenaga, bersemangat dan mampu menyatukan masyarakat,” katanya.
Walaupun hanya pertandingan santai, impaknya cukup besar. Ia bukan sekadar sukan, tetapi juga ruang untuk interaksi antara generasi dan membuktikan bahawa semangat tidak mengenal usia.
-ZS-