
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Mempunyai pilihan antara menggunakan perkhidmatan katering atau rewang untuk sesebuah majlis walimatulurus membuatkan kebanyakan masyarakat zaman kini lebih cenderung menggunakan perkhidmatan katering bagi menjimatkan masa serta memudahkan urusan tuan rumah selain menganggap ia sebagai satu kaedah moden yang lebih praktikal dan efisien.

Ahli Pakatan KAG yang bertugas menyediakan menu utama untuk majlis pada hari ini di Kampung Kubang Anak Gajah.
Namun, berbeza bagi Pengerusi Pakatan Kubang Anak Gajah (KAG) Mohd Suskri Md Noor, 58, yang masih meneruskan tradisi turun-temurun ini kerana beliau percaya bahawa amalan rewang atau gotong-royong membawa makna yang lebih besar daripada sekadar penyediaan makanan.
Mohd Suskri yang ditemui semasa menguruskan sebuah majlis perkahwinan di Kampung Kubang Anak Gajah di sini hari ini menyatakan bahawa semangat kebersamaan yang terjalin semasa aktiviti gotong-royong seperti memasak, menghidang dan mengemas selepas selesai majlis adalah pengalaman yang tidak ternilai dan dapat menghidupkan suasana harmoni di kampung.
“Sejak beberapa dekad yang lalu, setiap majlis kenduri kahwin yang diadakan di kampung ini diurus sepenuhnya oleh ahli pakatan KAG termasuk penyediaan makanan utama dan sampingan, minuman serta kelengkapan kenduri seperti khemah, kerusi dan meja juga disediakan oleh Pakatan KAG,” ujarnya.

Pakatan KAG akan menyediakan aneka pilihan minuman kepada tetamu mengikut permintaan tuan rumah.
Memandangkan tradisi ini semakin terpinggir akibat kesuntukan masa dan tuntutan gaya moden, beliau menyeru anak muda kampung tersebut terus menghidupkan amalan rewang dengan menyediakan perkhidmatan khas menguruskan rewang bagi pihak tuan rumah yang ingin mengadakan majlis kenduri termasuk menerima tempahan daripada kampung lain di sekitar daerah Pendang.
Menurut salah seorang jawatankuasa Pakatan KAG Zainuddin Zainol, 29, petugas yang berpengalaman memasak menu utama untuk majlis perkahwinan di sini sentiasa meraih pujian para tetamu yang hadir malah kehebatan mereka pernah mendapat perhatian sehingga menerima tempahan untuk menguruskan walimatul urus di negeri-negeri lain seperti Perlis, Johor, Melaka dan sebagainya.
“Setiap majlis walimatulurus yang kami uruskan akan melalui proses yang tersusun bermula dengan mesyuarat bersama ahli pakatan, penyediaan barang basah, kerja memasak, penyajian makanan dan mengemas selepas majlis akan diurus sepenuhnya oleh kami.
“Pakatan KAG bukan sahaja membantu memudahkan tuan rumah malah turut memastikan tradisi gotong-royong terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” ujarnya.
-ZS-