
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/IKBN Bandar Penawar (Johor)
KOTA TINGGI, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar terus komited dalam usaha memperkasakan kemahiran belia melalui penganjuran Program Rakan Mahir Future Y-Skills dengan menampilkan aktiviti bertemakan pembuatan Nasi Arab Maqlubah buat pertama kalinya.

Selain berpeluang mempelajari teknik penyediaan Nasi Arab Maqlubah, peserta program juga diajar penguasaan aspek teknikal penyediaan makanan, tip teknik memasak serta penggunaan peralatan dapur yang berkesan.
Program ini telah menarik penyertaan seramai 20 orang pelajar tahfiz daripada dua institusi berhampiran, iaitu Madrasah Darul Uloom Islamiyyah Pengerang dan Pondok Tahfiz Ummul Mutasaddiqin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri, berkata golongan pelajar termasuk yang berada di institusi tahfiz perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas tamat pengajian.
“Kemahiran serta sijil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diperoleh kelak mampu membuka peluang kerjaya di kawasan Bandar Penawar khususnya dan dalam pelbagai sektor lain amnya,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup Program Rakan Mahir Future Y-Skills IKBN Bandar Penawar, di sini semalam.

Fauziah berkata pelajar-pelajar tahfiz juga perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan peluang kerjaya masa hadapan.
Pengarah IKBN Bandar Penawar Fadhilah Ahmad, memaklumkan bahawa para peserta telah diberi peluang mempelajari teknik penyediaan Nasi Arab Maqlubah, sejenis hidangan tradisional Timur Tengah yang semakin popular dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Selain penguasaan aspek teknikal penyediaan makanan, program ini juga menekankan nilai kerjasama, kreativiti, keusahawanan, serta kepentingan kemahiran hidup dalam kalangan peserta,” katanya.
Dalam pada itu, sesi demonstrasi kaedah memasak nasi Arab Maqlubah turut dikendalikan oleh Pengajar Bahagian Penyediaan Makanan IKBN Mohd Hisamudeen Che Ahmad, selain berkongsi tip teknik memasak serta penggunaan peralatan dapur yang berkesan.
-ZS-