Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pelancaran Enam KRT Baharu Tawau Perkukuh Perpaduan, Pacu Ekonomi Komuniti

By 14 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Perpaduan dan keselamatan komuniti setempat di Tawau terus diperkasa menerusi penambahan enam lagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu menjadikan keseluruhan 64 KRT aktif di daerah berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Ruji Ubi berkata, pelancaran KRT baharu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh struktur sosial dan keselamatan komuniti setempat, selaras dengan pelaksanaan program Rukun Tetangga (RT) Progresif oleh kementerian.

Ruji Ubi menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Enam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Baharu Daerah Tawau.

“Kita harap perubahan KRT ini dapat mencapai dua objektif utama – satu untuk perpaduan, satu lagi untuk keselamatan setempat. Kawasan kita dekat dengan sungai dan laut, jadi projek penternakan ikan amat sesuai. Madu kelulut pula tak perlukan modal besar dan boleh bertahan tiga ke lima tahun,” katanya semasa Majlis Pelancaran KRT berkenaan di Tawau pada Jumaat.

Tambah beliau, pembentukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) juga digalakkan dan menjadi syarat asas penyertaan dalam program RT Progresif demi menjamin keselamatan komuniti secara berstruktur.

“Jika ada tanah-tanah terbiar dapat kita manfaatkan seperti di Semarak yang kini aktif melaksanakan RT Progresif dengan pelbagai projek komuniti.Sejak 2012, setiap KRT yang aktif dan mempunyai akaun rasmi diberikan geran tahunan sebanyak RM6,000.

Antara wakil-wakil KRT baharu yang menerima watikah pelantikan pada majlis berkenaan, kelmarin.

“Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada 8,565 KRT di seluruh negara. Enam KRT baharu ini perlu buka akaun segera agar geran tahunan dapat disalurkan terus kepada mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hanya KRT yang aktif akan menerima peruntukan, manakala KRT tidak aktif akan dinilai semula agar pendekatan kementerian kekal relevan dan fleksibel.

“Penubuhan KRT bukan sekadar menjaga keharmonian setempat, malah kini berkembang sebagai pemangkin ekonomi komuniti. Bukti jelas bahawa perpaduan dan pembangunan boleh bergerak seiring menuju Malaysia MADANI,” tambahnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda