
Laporan/foto: Norsaedah Haron/Mohmad Farid Pa’at (Kluang)
KLUANG, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 23 orang pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Layang, Layang-Layang, di sini diraikan dalam suasana penuh mesra menerusi Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI Bandar Renggam (Kemasyarakatan) yang berlangsung hari ini.

Aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran bangunan PDK Sri Layang.
Program anjuran Komuniti MADANI Bandar Renggam ini menampilkan aktiviti gotong-royong bersama pelatih, sesi bersarapan dan makan tengah hari, yang turut melibatkan penglibatan aktif komuniti setempat.
Menurut Pengerusi PDK Sri Layang Nordin Abdullah, pelatih yang mengikuti pembelajaran di pusat tersebut terdiri daripada pelbagai kategori Orang Kurang Upaya (OKU) seperti masalah pembelajaran, autisme, kecacatan fizikal dan masalah pendengaran.
“Saya mewakili PDK Sri Layang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Komuniti MADANI Bandar Renggam atas kesudian menjayakan program ini.
“Pagi ini kita bergotong-royong bersama-sama anak-anak istimewa dan warga komuniti. Kehadiran mereka membawa keceriaan serta menunjukkan bahawa golongan OKU tidak dipinggirkan, malah dihargai dan disayangi,” katanya.

Pengerusi PDK Sri Layang, Nordin Abdullah, berharap program ini dapat diteruskan supaya masyarakat dapat mendampingi warga OKU.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kluang, Mohd Sharir Mohd Sani turut menyampaikan taklimat berkaitan logo dan tema Hari Kebangsaan 2025 yang membawa mesej perpaduan dan kekuatan rakyat Malaysia.
“JIWA @ Komuniti MADANI adalah platform untuk menyemai nilai-nilai murni seperti kasih sayang, tanggungjawab dan kebersamaan. Ia juga adalah wadah memperkasakan hubungan antara komuniti dan golongan OKU dalam semangat Malaysia MADANI,” jelasnya.
Program ini menjadi bukti bahawa usaha berterusan untuk membina masyarakat inklusif dan penyayang perlu digerakkan dari akar umbi, Komuniti MADANI berperanan penting sebagai jambatan antara agensi kerajaan dan rakyat dalam membina keharmonian dan saling menghormati dalam kepelbagaian.
-ZS-