Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pelatih PLKN Teruja Pegang M16

By 5 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 257 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 berpeluang menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 1 di Tanjung Gelang selama dua hari yang berakhir kelmarin.

Semua pelatih diberikan taklimat sebelum latihan menembak bermula.

Seorang pelatih PLKN Aiman Khawarizmi Kamaruddin, 20, dari Kota Bharu, Kelantan tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana diberi peluang menggunakan senjata berkenaan membabitkan jarak 25 dan 100 meter.

“Selepas tiga minggu berada di kem, ia bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah menguatkan mental dan fizikal jika negara berdepan sebarang ujian pada masa hadapan,” katanya.

Manakala bagi Desmond Oliver Jilah Sumpongol, 18, dari Papar, Sabah, pada awalnya perasaan berdebar dirasakan kerana belum pernah memegang senjata terutama M16.

“Namun, sebaik diberikan penerangan dan cara penggunaan oleh jurulatih, perasaan berdebar itu hilang dan berasa teruja apabila menggunakan senjata itu buat kali pertama,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, kelmarin.

Menurut, Pengarah Bahagian Operasi Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mazlizan Shaikh Osman, jumlah 257 itu merupakan pelatih lelaki yang menyertai program selama 45 hari di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Pekan.

“Kita mengadakan dua sesi latihan menembak yang disertai oleh kumpulan Alpha, Bravo, Charlie dan Delta,” katanya.

Kolonel TUDM Mazlizan Shaikh Osman ketika sidang media.

Tambahnya lagi, terdapat dua modul utama iaitu kenegaraan iaitu 30 peratus elemen jati diri, cinta negara dan perpaduan manakala ketenteraan sebanyak 70 peratus yang melibatkan aspek kemahiran asas ketenteraan, latihan fizikal, sukan bola sepak, futsal dan bola tampar.

“Pelatih PLKN wanita yang ditempatkan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di ibu negara juga akan menjalani latihan menembak dan modul asas ketenteraan sama dalam usaha membentuk disiplin, keyakinan serta jati diri.

“Semasa latihan, senjata yang digunakan ialah senapang M16 bersama peluru hidup, para pelatih dilatih untuk menembak pada jarak 25 meter dan 100 meter dalam keadaan meniarap, duduk dan berdiri,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda