Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Penunaian Bantuan STR Ringankan Beban 424 Penduduk Kuala Penyu

By 18 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Kuala Penyu)

Kuala Penyu, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 424 penerima yang berdaftar dalam sistem e-Kasih menerima manfaat menerusi Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 yang diadakan di Dewan Dato’ Shahbandar Makang, Kuala Penyu.

Sekitar suasana Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 yang diadakan di Dewan Dato’ Shahbandar Makang, Kuala Penyu pada Sabtu.

Program ini bukan sahaja menyantuni penerima STR, malah menjadi platform penting untuk kerajaan mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka, khususnya di kawasan yang sukar diakses.

Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu, Jasni Ag Sabli, berkata, usaha membantu penduduk luar bandar dan pedalaman yang tidak memiliki akaun bank amat penting dalam memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasar.

Jasni bersama Penyelaras STR Daerah Kuala Penyu, Rosita Mahmud semasa program berlangsung.

“Kita bantu masyarakat Kuala Penyu, terutama yang tidak memiliki akaun bank untuk hadir ke pusat agihan terdekat di sini bagi memudahkan mereka menunaikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Program seperti ini amat baik dan patut diteruskan lagi bagi membantu seterusnya memudahkan penerima di kawasan ini, mungkin selepas ini kita boleh adakan pameran, pemeriksaan kesihatan, juga gerai jualan seperti jualan Rahmah,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Sabtu.

Jollin (tengah) bersama adiknya Rita dan rakan mereka selepas menunaikan bantuan STR.

Penerima STR, Jollin Kimsing, 61, dari Kampung Bundu menyambut baik program tersebut yang disifatkannya sangat memudahkan urusan masyarakat setempat.

“Saya bersyukur kerana dengan adanya program begini. Ia peluang yang sangat baik dan menyenangkan kami. Kalau boleh diteruskan program seperti ini di masa akan datang, saya dan adik pun boleh hadir sama-sama untuk menunaikan bantuan,” katanya.

Bagi Creyntina Joyce Ah Chong, 24, dari Kampung Sawangan, percaya ramai penerima STR yang menerima manfaat dari program penunaian ini terutama yang tinggal jauh dari bandar.

Creyntina ketika ditemui pada Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 Daerah Kuala Penyu.

“Kampung saya agak jauh dari sini, tapi program ini memang membantu, terutamanya orang tua di kampung pedalaman yang tiada telefon atau akaun bank. Terima kasih kepada pihak kerajaan sebab sudah buat program begini untuk bantu orang kampung, orang-orang di pedalaman yang memerlukan perkhidmatan seperti ini,” katanya.

Untuk makluman, program itu dilaksanakan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Perbendaharaan Malaysia Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Bank Simpanan Nasional (BSN), serta jabatan dan agensi tempatan lain.

-RJ-

Tinggalkan komen anda