
Laporan/foto: Noor Sazarina/Mohd Nizam (Petaling)
SUNGAI BULOH, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Lebih 50 orang ahli Komuniti Madani Kampung Paya Jaras Hilir dan penduduk setempat telah berganding bahu menjayakan Plogging@Sungai Kedondong yang diadakan di kawasan Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir, di sini kelmarin.

Mohd Aliff ketika berucap.
Program anjuran bersama Komuniti MADANI Paya Jaras Hilir dan COMBI MPP Zon 23 ini bertujuan memupuk kesedaran menjaga kebersihan sungai sambil beriadah.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Hilir Mohd Aliff Mohd Ali, berkata program seumpama ini mampu mengeratkan hubungan penduduk selain memberi impak positif terhadap kebersihan sungai.
“Program ini bukti bahawa komuniti kita prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kerjasama daripada semu pihak akan dapat memulihkan Sungai Kedondong daripada pencemaran sampah sarap dan memastikan ia terus menjadi warisan semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui selepas program.
Salah seorang peserta, Raudzah Yahya, 44, turut berkongsi pandangan beliau.
“Saya berasa gembira dapat turut serta dalam program ini, selain dapat bersenam kami dapat melihat sendiri banyak sampah yang dibuang merata-rata, semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan secara berkala,” katanya.

Aktiviti program Plogging@Sungai Kedondong.
Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi itu disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, sukarelawan dan wakil penduduk setempat.
Aktiviti plogging (lari kutip) merupakan gabungan aktiviti berjoging sambil mengutip sampah ini dilihat sebagai pendekatan inovatif untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
Program berakhir sekitar pukul 10.00 pagi dengan kutipan hampir 200 kilogram sampah yang terdiri daripada plastik, botol dan sisa buangan lain.
Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Zon 23, Anuar Abd. Rahman.
-ZS-