
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)
SERI MANJUNG, 3 Jun (MalaysiaAktif) – Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat Negeri Perak telah sempurna dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komuniaksi Nik Kamaruzaman Nik Husin di Arena Square, Taman Samudera, di sini kelmarin.

Himpunan Pesilat turut menjadi terjemahan kepada Pahlawan MADANI sempena Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat 2025.
Nik Kamaruzaman ketika menyampaikan ucapannya melahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha pihak penganjur iaitu Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Perak serta kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi, kementerian dan agensi Persekutuan, jabatan serta agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Menerusi program ini, satu sesi libat urus antara jabatan kerajaan dan masyarakat setempat secara suasana santai, mesra dan penuh kemeriahan dapat diwujudkan.
“PMR 2025 dirangka berkonsepkan karnival dan penyampaian meliputi tujuh kompenan teras demi manfaat khusus kepada rakyat dengan membuka ruang bagi komunikasi dua hala antara agensi kerajaan dan rakyat,” katanya.

Payung terjun Tentera Laut Diraja Malaysia menjadi tumpuan para pengunjung Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat.
Tambah Nik Kamaruzaman, program ini turut menjadi medan bagi mempromosikan penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) yang dijangka berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jun ini di Lumut Waterfront, Perak.
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Perak, program ini merupakan usaha memperluas pemahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan menerusi pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.
Antara aktiviti menarik yang menjadi tumpuan pengunjung karnival tersebut kelmarin dalah Himpunan Pesilat yang menawarkan persembahan seni pertahanan diri silat, jualan peralatan dan busana pesilat, kelas asas silat serta persembahan payung terjun yang membawa bersama Jalur Gemilang, bendera JAPEN dan bendera Pasukan Khas Laut oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JAPEN Rubaayah Osman, wakil-wakil agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pemimpin masyarakat.
-ZS-