Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Program Gunting Rambut Percuma Ringankan Beban Ibu Bapa

By 12 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Sazarina/Hamzani Zen (Petaling)

SUNGAI BULOH, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Sungai Pelong dengan kerjasama Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dan Walter College telah mengadakan Program Kembali ke Sekolah ‘Gunting Rambut Percuma’ di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, di sini kelmarin bagi membantu keluarga membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Jamaluddin (tengah) ketika ditemu bual.

Program ini mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 25 orang tukang gunting profesional daripada Walter College turun padang secara sukarela untuk memberikan potongan rambut percuma kepada pelajar.

Lebih 200 orang pelajar sekolah rendah dan menengah hadir seawal pagi bersama ibu bapa masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga malah menceriakan kanak-kanak dengan penampilan baharu menjelang pembukaan sekolah.

Menurut salah seorang ibu yang hadir, Siti Mariam Aziz, 45, program ini membantu mereka melakukan persiapan persekolahan dalam memastikan anak-anak sentiasa kemas dan bersemangat untuk ke sekolah.

“Program ini sangat membantu kami, terima kasih kepada semua pihak yang menganjurkan program ini dan memberi kegembiraan serta keceriaan kepada anak-anak untuk ke sekolah.

Tenaga pengajar Walter College, Syafiq Shahdan menunjukkan teknik gunting rambut dalam Program Kembali ke Sekolah Gunting Rambut Percuma.

Ketua Komuniti MADANI Sungai Pelong Jamaluddin Wahab, berkata program ini merupakan program bakti komuniti kepada masyarakat.

“Kesepakatan dan aktiviti turun padang melibatkan Komuniti MADANI dengan kerjasama pelbagai pihak membuktikan semangat Komuniti MADANI yang saling membantu demi kesejateraan bersama.

“Program-program melibatkan komuniti ini akan diteruskan lagi pada masa depan” ujarnya.

Program berjalan lancar dengan sokongan penuh penduduk kampung sekali gus mengeratkan hubungan antara komuniti, sukarelawan dan rakan strategik.

-ZS-

Tinggalkan komen anda