
Laporan / Foto: Sumardi Sugiman / Jackson Abell ( Sarawak)
BAU, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Stass dan kawasan sekitar menyambut baik Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2025 Bahagian Kuching Siri 3 Daerah Bau anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Serasot dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching serta Pejabat Kesihatan Daerah Bau yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Stass, semalam.

Henry berucap di Dewan Kampung Stass Bau sempena Program Jelajah (ANMS) 2025 di sini, kelmarin.
Program tersebut antara tujuannya meningkatkan kesedaran dan menggalakkan komuniti setempat membuat saringan kesihatan bagi mengesan awal penyakit NCD dengan kerjasama rapat antara pelbagai agensi dan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep telah berucap dan merasmikan program tersebut dan menyatakan kesyukuran dan terima beliau atas inisiatif penganjuran program tersebut bagi kebaikan penduduk kampung.
“Pelbagai aktiviti menarik telah diatur oleh pihak penganjur dan penduduk setempat di sini telah memberi respon positif apabila mereka hadir bagi menjayakan dan memeriahkan program ini.

Henry melawat booth pameran di Dewan Kampung Stass sempena Program Jelajah tersebut.
“Antara pengisian menarik itu merangkumi senamrobik, booth pameran dan saringan kesihatan kepada pengunjung, pertandingan mengutip sampah terbanyak, pertandingan karaoke dan Pertandingan Ratu Gawai (Kanak-Kanak),” ujar Henry.
Dalam program tersebut Henry selain menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi pelbagai pertandingan yang diadakan, beliau juga kelihatan berkesempatan melawat booth pameran pelbagai agensi dan jabatan kerajaan sekali gus menyantuni petugas program dan penduduk setempat bagi mendengar maklum balas daripada mereka berkaitan program berkenaan.
-RJ-