
Laporan/foto: Mohamad Sanusi Hassan
TUMPAT, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Kelab Malaysiaku: Kempen Internet Selamat telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, di sini kelmarin bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai keselamatan siber.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tumpat dengan kerjasama SMK Wakaf Bharu ini melibatkan 119 pelajar Tingkatan Enam Bawah yang juga ahli Kelab Malaysiaku.

Guru Penolong Kanan SMK Wakaf Bharu.
Pelbagai pengisian telah diadakan termasuk sesi taklimat bertajuk ‘Internet Selamat’ yang disampaikan oleh Pengurus NADI Palekbang Mohd Amin Abd Rahim.
Taklimat tersebut memberi penekanan terhadap langkah-langkah keselamatan siber dan etika penggunaan media sosial dalam kalangan remaja.
Hadir sama Penolong Pengarah SKMM Kelantan Che Azidi Fairuz Che Johan yang menyokong usaha ini sebagai sebahagian daripada inisiatif mendidik pengguna muda untuk menjadi warganet yang bertanggungjawab dan beretika.
Menurut Guru Penolong Kanan SMK Wakaf Bharu, Ahmad Sukri Abdul Aziz, program ini sangat bermanfaat kerana berjaya meningkatkan kefahaman pelajar tentang kepentingan menggunakan Internet secara selamat.
“Kesedaran ini penting dalam membentuk budaya penggunaan teknologi maklumat yang positif dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Muhammad Zakwan kini sedar kepentingan melindungi maklumat peribadi dan lebih berhati-hati ketika melayari Internet.
Seorang peserta, Muhammad Zakwan Mohd Haisham, 18, berkongsi pengalamannya selepas menyertai program tersebut.
“Sebelum ini saya kurang pendedahan tentang keselamatan ketika menggunakan media sosial.
“Selepas program ini, saya sedar betapa pentingnya melindungi maklumat peribadi dan lebih berhati-hati semasa melayari Internet,” katanya sambil menyeru rakan-rakan agar mengamalkan disiplin dalam dunia digital.
Program ini menjadi salah satu platform berkesan dalam mendidik pelajar mengenai cabaran dan risiko di alam siber serta langkah-langkah pencegahannya.
-ZS-