Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program JIWA@Komuniti MADANI Kukuhkan Perpaduan di Kampung Salarom Baru

By 5 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)

NABAWAN, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI sambutan perayaan yang berlangsung di Dewan Kampung Salarom Baru, di sini kelmarin dilihat sebagai salah satu wadah penyatuan kepada komuniti khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.

Acara sukan tradisi melastik berjaya menarik penyertaan daripada penduduk setempat.

Dengan mengetengahkan elemen kebersamaan, kebudayaan serta gaya hidup sihat, program ini berjaya merapatkan hubungan antara penduduk setempat selain mengangkat peranan Komuniti MADANI sebagai penggerak nadi rakyat.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Salarom Baru, Marutin Ansiung percaya, program berunsurkan kemasyarakatan merupakan kunci utama untuk menyeru semangat kekitaan daripada komuniti pelbagai latar belakang, umur dan etnik.

“Program ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk, dengan pelbagai pengisian yang memberi peluang kepada Komuniti MADANI meluangkan masa bersama menerusi pelbagai aktiviti seperti sukaneka dan sukan tradisional merapatkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kejiranan, di samping menggalakkan gaya hidup sihat.

“Semangat gotong-royong dalam penyediaan program mencerminkan persefahaman serta kerjasama erat dalam kalangan penduduk, membentuk komuniti yang harmoni dan bersatu padu,” katanya ketika berucap dalam program JIWA@Komuniti MADANI Sambutan Perayaan di Dewan Kampung Salarom Baru, di sini pada Selasa.

Pertandingan paluan gong disertai oleh penduduk kampung dan ahli Komuniti MADANI Kampung Salarom Baru, Nabawan.

Menurut Marutin lagi, elemen kebudayaan juga turut diselitkan melalui pertandingan pakaian tradisional dan paluan gong yang memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai adat dan warisan nenek moyang.

“Pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak menampilkan pakaian Pinongkolo, pakaian tradisi masyarakat Murut, sekali gus mengetengahkan keunikan budaya serta kepentingan memelihara adat agar tidak dilupakan oleh generasi muda.

“Sementara itu, pertandingan paluan gong pula bertujuan mengangkat martabat alat muzik tradisional tersebut sebagai identiti bangsa, serta mampu memupuk jati diri, nilai moral dan semangat cintakan warisan serta negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Sam Mansibu, menekankan peri pentingnya komuniti setempat sentiasa peka terhadap isu semasa serta dasar-dasar kerajaan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Marutin menyampaikan bantuan kepada warga emas di sekitar Kampung Salarom, Nabawan.

“Melalui sesi sembang santai dan ceramah ringkas berkenaan isu semasa kepada komuniti dan penduduk kampung diharapkan dapat memberi input dan pengetahuan yang berguna kepada semua yang hadir kelmarin.

“Peranan Komuniti MADANI juga perlu diperluaskan lagi bukan sekadar sebagai penerima dasar, bahkan sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan pembangunan luar bandar dan negara.

Antara pengisian lain sepanjang program berlangsung termasuklah Sesi Sembang Santai, pertandingan bina badan kanak-kanak lelaki serta penyerahan bantuan kepada warga emas sekitar Kampung Salarom Baru, Nabawan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda