
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof
KUALA KRAI, 3 Jun (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Kuala Pertang menyambut baik usaha Komuniti MADANI dalam memperkukuh keharmonian masyarakat melalui penganjuran Program@ Jiwa Komuniti MADANI yang berlangsung meriah di Balai Raya Kuala Pertang, semalam.

Demonstrasi menyelamat bayi oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Krai.
Antara pengisian utama program ialah taklimat khas oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Daerah Kuala Krai yang memberi penerangan tentang kemudahan untuk pencarum, termasuk pengeluaran dan maklumat terkini berkaitan simpanan persaraan.
Demonstrasi menyelamat oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Krai turut diadakan, memberi fokus kepada latihan pertolongan cemas dan teknik CPR dalam menghadapi kecemasan.
“Latihan ini memberi keyakinan kepada kami untuk bertindak pantas sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” kata peserta Mariam Abdullah, 52.
Sukan rakyat turut menceriakan suasana dengan aktiviti seperti boling padang, pancing botol dan membawa bola ping pong menggunakan sudu yang disambut meriah oleh para peserta.

Muhd Nor Aswadi menandatangani buku pelawat sempena perasmian program Program@ Jiwa Komuniti MADANI Kuala Pertang.
“Anak-anak saya seronok sertai aktiviti ini. Harap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun,” kata Nurul Adibah Zainal, 36, salah seorang penduduk kampung.
Program yang dirasmikan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan rakyat, malah menjadi wadah penting dalam menyebarkan maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya ucapan perasmiannya.
Penganjuran program ini jelas mencerminkan semangat MADANI yang mementingkan perpaduan, kesedaran dan kesejahteraan masyarakat setempat.
-ZS-