
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)
MATANG, 6 Jun (MalaysiaAktif) – Program Pemukiman Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama ke Mukim Matang, di sini kelmarin telah diadakan dengan pengisian yang telah disusun rapi oleh Pejabat Penghulu Mukim Matang.

Sesi bergambar bersama dengan Pengurus dan kakitangan Kilang Perusahaan Cili, kicap dan Sos Lia Suri di Kg Batu Tegoh.
Menurut Penghulu Mukim Matang Nasaruddin Mawi, beberapa program telah disusun sekitar Mukim Matang bagi melihat potensi produk pelancongan di beberapa lokasi termasuk di Kuala Sepetang.
“Pulau Sanggar merupakan salah satu lokasi yang dilawati. Peluang yang diperolehi adalah melihat habitat burung helang, sangkar ikan dan kawasan lot kerang sebagai produk pelancongan di Kuala Sepetang,” ujarnya.
Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat sempat beramah mesra bersama dengan para peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke Pasar Awam Pekan Matang.
Beliau turut menyampaikan bantuan kepada dua puluh orang asnaf yang telah berjaya dikumpulkan di Restoran Nelayan, Matang.
Menurut Mohd Nasrul, program pemukiman sebegini yang telah diatur merupakan jalan pintas bagi pihak Pengurusan Pejabat Daerah LMS mengenalpasti pelbagai potensi ekonomi, pelancongan mahupun keusahawanan serta pemasalahan yang timbul di sekitar daerah LMS.

Mohd Nasrul bersama dengan Tan Tie Sheck.
Selain Projek SejaTi MADANI Ternakan Ayam Piru oleh JPKK Kampung Hujung Matang Mohd Nasrul juga turut ke kilang perusahaan cili, Kicap dan Sos Lia Suri di Kampung Batu Tegoh bagi menyokong usaha dan inisiatif masyarakat setempat dalam memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) Mukim Matang.
Selain itu, Wonder Farm Mushroom yang diusahakan oleh Tan Tie Sheck dan keluarga di Kampung Setia, Matang telah beroperasi lebih 30 tahun turut menjadi lokasi persinggahan telah dibuka sebagai destinasi pelancongan pendidikan di Matang.
Hadir sama Ketua Polis Taiping ACP Mohd Nasir Ismail dan Pegawai Khas Menteri Besar Perak (Mukim Matang) Ismail Din.
-ZS-