Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Sembang Santai MADANI Permudah Urusan Penduduk Dalit

By 2 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wenny Di Tian Soh/Bonaventure Subin (Keningau)

KENINGAU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai Komuniti MADANI Paluan Dalit yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) Kampung Dalit Gana, Mukim Dalit berjaya menarik kehadiran ramai penduduk tempatan.

Program anjuran bersama pelbagai agensi kerajaan itu bukan sahaja menyediakan ruang interaksi antara komuniti dan agensi, malah memberi akses mudah kepada perkhidmatan penting termasuk semakan dan pengemaskinian dokumen pengenalan diri.

Rudici berkongsi pandangan tentang manfaat program yang memudahkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan secara terus.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rudici Naat, 41, berkata program itu membantu penduduk luar bandar, khususnya dalam urusan rasmi yang biasanya memerlukan mereka ke pekan.

“Program ini sepatutnya diperluas ke kampung berdekatan kerana penduduk bukan sahaja mendapat khidmat agensi kerajaan, tetapi turut menikmati manfaat seperti Program Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang membantu meringankan beban rakyat.

“Bagi penduduk di kawasan seperti ini, untuk ke bandar memerlukan masa dan kos yang tinggi. Apabila agensi turun padang begini, ia bukan sahaja memudahkan, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Sabtu.

Tambahnya, kehadiran agensi kerajaan ke kampung menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan akar umbi, terutama bagi kawasan yang jauh dari pusat bandar.

Rasuniah menyambut baik kehadiran agensi kerajaan seperti JPN yang banyak memudahkan urusan penduduk, terutamanya golongan warga emas.

Sementara itu, seorang suri rumah, Rasuniah Baragang, 60, menyambut baik penganjuran program yang disifatkannya amat membantu golongan warga emas sepertinya untuk berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa perlu ke pekan.

“Kehadiran JPN hari ini sangat memudahkan urusan berkaitan MyKad dan surat beranak. Ia menjimatkan kos tambang pergi balik ke Keningau dan sangat memudahkan,” katanya.

Beliau berharap program sedemikian diadakan lebih kerap kerana ia turut mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Penduduk kampung mendapatkan perkhidmatan kaunter JPN yang dibuka sempena Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai di Kg. Dalit Gana, kelmarin.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan JPN dalam program tersebut termasuk semakan status MyKad hilang atau tercicir, daftar lewat kad pengenalan dan surat beranak, permohonan MyKad 12 tahun, gantian kad pengenalan rosak atau hilang serta pertukaran alamat MyKad.

Selain itu, Program Jualan Rahmah turut menjadi tarikan utama pengunjung yang hadir, sekali gus membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda