
Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana meriah dan penuh semangat MADANI menyelubungi Kampung Alor Gandak, di sini kelmarin apabila satu Program Sembang Santai Komuniti MADANI dengan kerjasama pelbagai agensi telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan aktif penduduk kampung.
Program ini menyaksikan kerjasama erat antara beberapa jabatan kerajaan dan agensi termasuk KRT Kampung Alor Gandak, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Alor Semela Barat, Persatuan Solidariti Nasional (PERSONA), Perkumpulan Wanita Kampung Alor Gandak, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kota Setar, Pertubuhan Pasukan Ambulan Sukarelawan Mesra Sayang Alor Setar dan Pejabat Penerangan Daerah Pokok Sena.

Taklimat dan demonstrasi CPR.
Antara aktiviti utama yang menarik perhatian penduduk ialah taklimat pencegahan kebakaran yang disampaikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar.
Para peserta diberi pendedahan tentang langkah-langkah keselamatan kebakaran di rumah, terutamanya kepada suri rumah dan warga emas.
Selain itu, Pertubuhan Pasukan Ambulan Sukarelawan Mesra Sayang Alor Setar turut mengadakan taklimat serta demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang mendapat sambutan hangat, khususnya daripada golongan belia. Peserta diajar cara memberi bantuan kecemasan asas kepada mangsa serangan jantung atau lemas, ilmu yang sangat berguna dalam situasi kecemasan.
Turut hadir ialah Ketua Komuniti MADANI Bukit Pinang Fazilah Ismail, 60, yang menyuarakan rasa syukur dan gembira kerana dapat kembali menyumbang kepada kampung halaman.
“Saya amat terharu melihat semangat penduduk Kampung Alor Gandak yang begitu aktif dan bersatu hati.
“Kampung ini menyimpan banyak kenangan manis dari kecil buat saya, dan saya berbangga dapat kembali bersama-sama menjayakan program sebegini,” ujarnya.

Pertandingan timbang bola takraw.
Program juga diserikan dengan pelbagai aktiviti sukaneka yang melibatkan semua peringkat umur. Gelak tawa dan sorakan keluarga menceriakan padang kampung dengan acara seperti meniup belon, tarik tali dan pelbagai lagi acara menarik.
Dalam aspek kreativiti dan kemahiran tangan, pertandingan gubahan tuala telah menjadi tumpuan utama golongan wanita kampung, manakala pertandingan tarik tali pula mencabar ketangkasan serta kerjasama kumpulan dalam kalangan pemuda dan belia.
Jabatan Penerangan turut memainkan peranan penting dengan menyampaikan taklimat keselamatan dalam talian dan penipuan tawaran kerja — satu isu yang semakin membimbangkan masyarakat luar bandar. Penduduk diberi pendedahan tentang bagaimana untuk mengenal pasti taktik penipuan dan langkah pencegahan yang boleh diambil.
Program Sembang Santai ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat, malah berjaya meningkatkan kesedaran, kemahiran dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung. Ia diharapkan menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di sekitar Parlimen Pokok Sena.
-ZS-