Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Projek IoT FKI UMS Perkasa STEM Murid Sekolah Rendah

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/SK Bukit Kalam

LABUAN, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menganjurkan Program Rekacipta dan Inovasi Aplikasi IoT: Cipta, Sambung dan Kawal khusus untuk murid sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kalam.

Para peserta diberi pendedahan mengenai pengaturcaraan sistem pejalan kaki.

Menurut Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa FKI UMS Dr. Nooralisa Mohd Tuah, program itu dianjurkan bagi memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada peringkat awal.

“Program ini merupakan inisiatif di bawah Kitaran 1.5 STI 100 (3), hasil kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) yang berlangsung selama tiga sesi bermula 17 Jun lalu, di SK Bukit Kalam dengan penyertaan lebih 100 murid Tahun Enam sekolah itu.

“Antara pengisian program termasuk ceramah interaktif, bengkel hands-on (amali) pemasangan komponen IoT, sesi pengaturcaraan asas serta pameran dan pertandingan hasil ciptaan para murid dengan dibantu 85 orang pelajar Tahun 3 Program Teknologi Multimedia FKI,” katanya yang ditemui media semalam.

Menurutnya lagi, program itu menyokong aspirasi UMS dalam memperkukuh jalinan komuniti dan memacu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam pendidikan berkualiti dan inovasi teknologi.

Para peserta dibimbing pelajar-pelajar Program Teknologi Multimedia FKI.

“FKI UMS melalui kerjasama dengan UScience komited meneruskan program berimpak tinggi seperti ini dalam usaha memperkasakan pendidikan STEM di peringkat akar umbi dan menyokong pembangunan bakat muda berasaskan teknologi di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Guru Besar SK Bukit Kalam Daliela Desa dalam ucapannya sempena perasmian Minggu TVET menyifatkan program itu sebagai usaha penting dalam memperkukuh asas pendidikan STEM dan TVET di peringkat rendah dan berharap lebih banyak program seumpama ini dianjurkan demi manfaat murid pada masa hadapan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda