Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Projek Terbengkalai 10 Tahun Kini Bernafas Baharu

By 58 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Onn Hafiz Ghazi 

KLUANG, 2 Jun (MalaysiaAktif ) – Seramai 47 penerima telah menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) Projek Perumahan Taman Permata Layang, kini akhirnya berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemilik setelah lebih sedekad terbengkalai.

Onn Hafiz, berkata Kerajaan Negeri komited untuk terus memberi perhatian serius terhadap projek-projek terbengkalai dan memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek yang menawarkan rumah mampu milik serendah RM42,000 seunit ini merupakan antara projek sakit yang berjaya dipulihkan hasil usaha berterusan pelbagai pihak.

“Saya bersyukur dan berbesar hati kerana berpeluang menyampaikan SLMR kepada penerima yang telah lama menanti peluang untuk memiliki kediaman sendiri.

“Ini bukan sahaja menandakan penamat kepada penantian mereka, malah menjadi titik mula kepada kehidupan baru yang lebih stabil dan bermakna,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah Taman Permata Layang, di sini semalam.

Tambah Onn, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Renggam, usaha menyelesaikan projek ini tidak mudah dan menuntut pelbagai bentuk intervensi, penyelarasan menyeluruh serta kerjasama erat antara agensi kerajaan.

“Projek ini amat dekat di hati saya kerana ia terletak dalam kawasan saya sendiri dan telah saya perjuangkan sejak hari pertama memegang amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pejabat Daerah Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam serta semua agensi terlibat yang telah bekerja keras memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini.

Projek Perumahan Taman Permata Layang merupakan projek rumah mampu milik serendah RM42,000 seunit, merupakan antara projek sakit yang berjaya dipulihkan hasil usaha berterusan pelbagai pihak.

Onn berkata, usaha pemulihan projek Taman Permata Layang ini juga dilihat sebagai pencetus kepada penyelesaian lebih menyeluruh bagi projek-projek perumahan terbengkalai di seluruh Johor.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus memberi perhatian serius terhadap projek-projek terbengkalai dan memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan demi menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Projek Taman Permata Layang kini menjadi simbol harapan dan bukti nyata bahawa dengan perancangan teliti dan kerjasama padu, isu perumahan terbengkalai dapat ditangani secara berkesan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda