
Laporan/foto: Mohd Faizal Mat Akhir/Pejabat ADUN Sungai Pinang
JELUTONG, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan Kempen Warga Emas Celik sebagai usaha memperkasa golongan warga emas agar lebih aktif, berdikari dan celik digital selaras dengan konsep Age-Friendly City negeri ini, di sini semalam.

Warga emas bersemangat mempelajari penggunaan Smart Shopper.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jelutong itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perpaduan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang Lim Siew Khim.
Menurut Lim, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju Penuaan Aktif Pulau Pinang, dengan tumpuan kepada lima teras utama iaitu celik digital, kesihatan, kewangan, keselamatan dan pembangunan sosial.
“Kempen ini bukan sahaja memberi ilmu, malah membina keyakinan warga emas agar kekal relevan dalam era digital dan sosial masa kini,” jelasnya.

Lim Siew Khim menekankan lima teras utama dalam Pelan Hala Tuju Penuan Aktif Pulau Pinang iaitu Celik Digital, Celik Kesihatan. Celik Kewangan, Celik Keselamatan dan Celik Pembangunan Sosial.
Turut hadir Pengarah jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang Rozita Ibrahim dan wakil Shopee Malaysia Terrence Siau yang menyatakan komitmen dalam memperluaskan program celik digital melalui inisiatif Smart Shopper.
Majlis turut diserikan dengan demonstrasi penggunaan Smart Shopper bersama ahli PAWE Jelutong, yang menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan oleh warga emas dalam urusan harian.
Selain itu, sesi libat urus khas antara Exco dan Pengarah JKM bersama sembilan PAWE seluruh negeri turut diadakan bagi merangka strategi jangka panjang aktiviti warga emas di Pulau Pinang.
-ZS-