Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Rakyat Terengganu Manfaat Saringan Percuma di Karnival Jom Sihat

By 32 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Safiahanis

KUALA TERENGGANU, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Ribuan pengunjung membanjiri KTCC Mall sepanjang dua hari berlangsungnya Karnival Jom Sihat anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Terengganu (TCCCI) yang bermula 13 Jun hingga 14 Jun lalu dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pemeriksaan mata percuma menjadi antara tarikan utama.

Tumpuan utama karnival ini adalah pelbagai saringan kesihatan percuma yang merangkumi saringan kanser payudara, ujian HPV DNA, Pap Smear, ujian darah dan urin, pemeriksaan mata, pemeriksaan osteoartritis dan sendi lutut, imbasan tekanan tapak kaki berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) serta analisis postur tubuh dan semuanya disediakan tanpa sebarang bayaran.

Menurut Pengerusi TCCCI, Kee Wie Loon, penganjuran karnival ini bertujuan memberi kesedaran awal tentang penjagaan kesihatan dan menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa beban kos.

Tambah beliau, program ini turut menjadi platform kerjasama antara sektor perniagaan, farmasi dan perubatan.

“Statistik daripada pihak KTCC Mall menunjukkan jumlah pengunjung pada hujung minggu dengan program seperti ini boleh mencecah 10,000 hingga 12,000 orang,” jelasnya, di sini kelmarin.

Salah seorang pengunjung dari Batu Rakit, Suhaila Adam, 49, berkata beliau menghantar anak menyertai pertandingan MyCraft Studio dan mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Wakil PERKESO bersedia memberi penerangan kepada pengunjung.

Manakala pengunjung dari Kelantan, Virly Liam, 37, berkata beliau dapat mengetahui status kesihatan melalui indeks jisim tubuh (BMI) dan terus mendapatkan nasihat daripada pakar sambil menemani anak menyertai kelas seni kraf.

“Program seperti ini sangat membantu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak berkemampuan. Ia bukan sahaja percuma tetapi menyediakan akses terus kepada pakar,” katanya.

Selain pemeriksaan kesihatan, karnival turut dimeriahkan dengan sesi perkongsian ilmu daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan dan Pertunjukan Kucing Comel yang turut mencuri perhatian pengunjung pelbagai peringkat usia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda