
Laporan/foto: Mohd Sanusi Arifin
TANAH MERAH, 1 Jun (MalaysiaAktif) – Seorang ibu tunggal lima anak berdepan dugaan berat apabila rumah pusaka peninggalan arwah suaminya di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah musnah sebahagiannya akibat ribut kuat yang melanda kawasan tersebut, petang semalam.

Keadaan dalam rumah selepas sebahagian bumbung diterbangkan angin
Dalam kejadian itu, sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan angin kencang, menyebabkan air hujan mencurah masuk ke dalam rumah.
Lebih menyedihkan, mangsa, Fauni Hussin, 49, bersama anak-anaknya terpaksa bermalam dalam keadaan basah dan tidak selesa.
Menurut Fauni, beliau yang merupakan pesakit kronik diabetes baru sahaja kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi penyakit tersebut.
Dalam keadaan serba kekurangan, Fauni kini hanya bergantung kepada ihsan saudara-mara dan pendapatan anak sulungnya yang bekerja sebagai pembantu mekanik di sebuah bengkel berhampiran.

Krew MalaysiaAktif meninjau kerosakan rumah mangsa
“Empat anak saya masih bersekolah, dan yang bongsu baru berusia lapan tahun. Saya benar-benar buntu bagaimana hendak membaiki bumbung rumah yang rosak sedangkan saya tiada punca pendapatan tetap,” katanya dengan nada sebak.
Beliau telah membuat laporan polis sebagai usaha awal bagi mendapatkan bantuan pihak berwajib. Ketua Kampung turut turun padang bagi meninjau kerosakan dan membantu mengenal pasti jumlah keperluan zink untuk menggantikan bumbung yang diterbangkan ribut.
“Saya amat bersyukur kerana pihak masjid Belimbing dan Ketua Kampung datang menghulurkan bantuan. Saya benar-benar terkejut melihat keadaan bumbung selepas ribut, dan saya hanya mampu berdoa agar ada pihak yang sudi membantu,” ujarnya.
-AA-