Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

RM945 Ribu Diperuntukkan untuk Permata MAIWP Labuan

By 15 Jun 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM945 ribu diperuntukkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Permata MAIWP Labuan bagi menampung kos operasi dan program pembangunan murid untuk tahun 2025.

Aksi KEMAS MAIWP Labuan untuk acara perbarisan.

Menurut Timbalan Pengurus (Pengurusan) MAIWP Labuan, Mohamad Ruzaimi Ibrahim kos tersebut termasuk perbelanjaan untuk penyediaan makanan seimbang, bahan bantu mengajar, aktiviti sokongan pembelajaran, serta pelbagai program yang menyumbang ke arah kemenjadian murid.

“MAIWP juga sentiasa mencari mekanisme baharu untuk meningkatkan mutu dan kualiti murid-murid termasuk penggunaan teknologi, pendekatan pembelajaran berasaskan projek serta aktiviti luar kelas,” katanya semasa merasmikan Karnival Sukaneka Permata MAIWP Labuan Tahun 2025 di sini semalam.

Acara isi air dalam botol turut menguji fokus para pelajar Permata MAIWP.

Ruzaimi turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa urusetia MAIWP Labuan yang melaksanakan program itu dengan jayanya.

“Tidak dilupakan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang sentiasa memberikan sokongan bukan sahaja kepada pihak tadika tetapi kepada anak-anak dalam setiap aspek perkembangan mereka,” jelasnya.

Sebanyak empat Permata MAIWP Labuan menyertai karnival kali ini dengan pelbagai acara yang dipertandingkan antaranya lompat pagar, gajah duduk dan lari berganti-ganti.

Permata MAIWP Al Amal, Kampung Tanjung Aru telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan untuk Karnival Sukaneka Permata MAIWP Labuan Tahun 2025.

-ZS-

Tinggalkan komen anda