
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Aspek literasi media sosial perlu terus diperkasa dalam kalangan Komuniti MADANI sebagai usaha untuk mengoptimumkan penyampaian maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abd Azis berkata, kemahiran digital juga memberi ruang kepada Komuniti MADANI untuk menjadi ejen penyampai maklumat yang sahih dan bermanfaat untuk masyarakat keseluruhan.

Suasana Program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai di NADI Kampung Batu 2, Wisma Raspand, Tawau, semalam.
Jelasnya, peranan komuniti dalam penyebaran maklumat tidak boleh dipandang ringan terutama dalam era digital masa kini yang kiam mencabar.
“Apabila masyarakat celik media sosial, mereka bukan sahaja mampu menerima maklumat secara bijak, malah turut berupaya menyebarkannya dengan cara yang menyatupadukan dan membina perpaduan.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja membantu peserta menguasai kemahiran digital, malah membuka ruang untuk mereka menjadi jurucakap komuniti melalui platform dalam talian,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Batu 2, Wisma Raspand, Tawau pada Sabtu.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tawau bersama Komuniti MADANI Taman Milenium itu memberi tumpuan kepada pengaplikasian dan peranan media sosial seperti ‘Facebook’ dan ‘TikTok’ untuk perkembangan sosial.

Pegawai NADI menerima cenderamata daripada Pengerusi Komuniti MADANI Taman Milenium, Husin Yono sambil disaksikan Azuary.
Tambahnya, peserta turut dibimbing secara praktikal mendaftar akaun media sosial serta menghasilkan kandungan atau hantaran yang berimpak, positif dan bertanggungjawab demi manfaat komuniti setempat.
“Program seumpama ini disifatkan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh literasi digital dan memperluas kefahaman rakyat terhadap penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.
“Usaha memperluas penganjuran program ini ke seluruh komuniti turut dilihat sebagai langkah proaktif bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semasa,” ujarnya.
-RJ-