Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sembilan Pengerusi JPENKK Dilantik, Perkasa Kolej Komuniti Negeri Sabah

By 19 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh kerjasama antara kolej komuniti dan komuniti setempat terus diperkasa menerusi lantikan sembilan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Sabah.
Kesemua pengerusi yang dilantik bagi penggal baharu bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027 itu, memegang tanggungjawab besar dalam memastikan kolej komuniti di negeri ini kekal relevan dan dekat di hati rakyat.

Zambry ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPENKK Negeri Sabah di Tawau,  kelmarin.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelantikan ini bukan sahaja satu bentuk pengiktirafan, tetapi satu amanah untuk memperkasa hubungan erat antara kolej komuniti dan masyarakat.

“Pelantikan Pengerusi JPENKK ini melibatkan Kolej Komuniti Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Kota Marudu, Penampang, Beaufort, Tambunan dan Papar.

“Kepercayaan ini hadir dengan tanggungjawab besar – untuk menyatukan usaha antara kolej dan rakyat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPENKK Negeri Sabah di sini pada Khamis.

Antara pengerusi yang menerima watikah pelantikan bagi penggal 2025–2027.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada tahun 2008, JPENKK telah memainkan peranan penting dalam menjadikan kolej komuniti sebagai institusi yang responsif terhadap keperluan masyarakat dan industri tempatan.

“Kita mahu kolej komuniti menjadi milik rakyat, tempat komuniti belajar, berkembang dan berjaya. Pelantikan ini dijangka mengarusperdanakan penglibatan komuniti dalam program latihan kemahiran dan aktiviti kemasyarakatan, sekali gus merapatkan hubungan dua hala antara kolej dan masyarakat.

“Inisiatif ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan kolej komuniti sebagai pusat rujukan utama pembangunan modal insan di kawasan luar bandar dan sub-bandar,” jelasnya.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda