Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Sentuhan Kasih Ibu Tegaskan Pentingnya Peranan Ibu dalam Kesejahteraan Keluarga

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin

DUNGUN, 3 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Ibu 2025 Peringkat Negeri Terengganu disemarakkan dengan penganjuran Karnival ‘Sentuhan Kasih Ibu’ yang berlangsung meriah di Arena Square, Dataran Dewan Merdeka, di sini kelmarin.

Antara ucapan yang dikongsi bersempena sambutan Hari Ibu 2025.

Dengan tema ‘Sentuhan Kasih Ibu’, sambutan kali ini mengangkat erti sebenar kasih seorang ibu bukan sekadar belaian fizikal, malah simbol kelembutan jiwa, ketulusan hati dan kekuatan emosi yang menjadi teras kesejahteraan institusi keluarga.

Majlis ini telah dirasmikan oleh wakil Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Rosmonaliza Abd Ghani.

“Tema ini mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan besar kaum ibu dalam membentuk generasi sejahtera dan masyarakat harmoni,” ujarnya dalam ucapan perasmiannya.

Katanya lagi, satu tinjauan dalam talian yang dijalankan oleh LPPKN dari 18 April hingga 5 Mei lalu mendapati, hampir 80 peratus ibu di Terengganu mengakui bahawa cabaran keibuan pada masa kini jauh lebih kompleks berbanding dahulu.

Pemeriksaan kesihatan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para ibu yang hadir.

“Ini merangkumi tuntutan kerjaya, tanggungjawab keluarga dan keperluan kendiri yang perlu diimbangi dengan bijak,” katanya.

Antara pengisian menarik sepanjang karnival ialah pertandingan mewarna ibu dan anak, balm makeover, ceramah pemakanan sihat, pengurusan tekanan emosi, pemeriksaan kesihatan serta pameran daripada agensi kerajaan dan swasta.

Wakil Persatuan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) Patimah Abon, 50, berkata program ini memberi manfaat besar kepada para ibu.

“Program seperti ini membuka ruang untuk ibu mengenali peranan mereka dengan lebih mendalam dan mendapatkan sokongan kesihatan serta emosi. Saya sendiri sempat menjalani pemeriksaan kesihatan hari ini.

“Melalui acara seperti ini, masyarakat bukan sahaja meraikan Hari Ibu, tetapi turut menzahirkan sokongan terhadap wanita bergelar ibu sebagai tulang belakang keluarga dan tunjang kekuatan negara,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda