Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sisa Kulit Jagung Lonjak Ekonomi Usahawanita Luar Bandar

By 24 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Hamizah Ilham (Kota Marudu)

KOTA MARUDU, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, timbunan sisa kulit jagung yang lazimnya dibuang kini menjadi sumber pendapatan baharu bagi sekumpulan wanita luar bandar di Kota Marudu.

Kulit jagung yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan kini dikumpul dan diproses menjadi pelbagai produk kraftangan menarik untuk dijual kepada pelancong. Usaha ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah turut membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Proses pembuatan bunga daripada sisa kulit jagung bersama komuniti wanita tempatan yang terlibat dalam inisiatif  ‘Corn Husk Craft’.

Salah seorang pengusaha kraftangan kulit jagung, Farni Millis, 42, berkata, inisiatif tersebut dimulakan oleh beliau dan beberapa wanita di kampung semasa Pandemik COVID-19 mula-mula melanda negara.

“Dalam satu perjalanan pulang, saya ternampak timbunan kulit jagung di gerai tepi jalan. Ketika itu, saya terfikir apa agaknya yang boleh dilakukan dengan sisa pertanian seperti ini.

“Dari situ, saya membuat carian dan mendapati bahawa sisa buangan kulit jagung boleh dijadikan kraftangan bunga hiasan, bakul, anak patung dan pelbagai kraftangan unik yang bernilai seni tinggi,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di simpang 3 Langkon, di sini pada Khamis.

Bertekad untuk memperkasa komuniti, Farni berjaya mengumpulkan seramai 20 wanita kampung dan melatih mereka dalam kemahiran membuat kraf kulit jagung menerusi Program Pemerkasaan Komuniti Kraf Kulit Jagung sejak Mac 2022.

“Saya libatkan wanita kampung secara langsung, suri rumah, ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Mereka dilatih membuat bunga dan kini sebahagian daripada pasukan pengeluaran. Kami bukan sahaja jana pendapatan, tapi beri keyakinan dan ruang untuk mereka berdikari.

Aneka bunga kulit jagung yang dijual antara RM5 hingga RM15 sekuntum, bergantung pada jenis dan saiz.

“Keuntungan jualan dan pakej kelas kraftangan itu membolehkan kami meneruskan latihan dan program di pusat kami. Dengan itu dapat menyokong usaha kami dalam memperkasa komuniti dan seterusnya menghasilkan produk yang mesra alam,” kongsinya.

Antara tahun 2022 hingga 2024, perniagaan yang beroperasi di bawah nama Perusahaan Farni telah berjaya mengumpul lebih 3,500 kilogram sisa kulit jagung dan menghasilkan kira-kira 8,600 unit produk kraftangan.

Antara produk popular yang dihasilkan ialah bunga daripada kulit jagung, yang dijual pada harga antara RM5 hingga RM15 sekuntum, bergantung pada jenis dan saiz bunga.

-RJ-

Tinggalkan komen anda