Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Sistem Grid Air Bayai–Lingga Diluluskan, Perkukuh Infrastruktur Bekalan Air Penduduk

By 12 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim

LINGGA, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Penduduk di sekitar kawasan DUN N.28 Lingga bakal menikmati bekalan air bersih yang lebih mampan dan berdaya tahan apabila projek Sistem Grid Paip Air sepanjang 74 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Bayai ke Pekan Lingga diluluskan untuk pelaksanaannya.

Julaihi dan Dayang Noorazah (tengah) bersama tetamu lain merakam foto kenangan di hadapan Masjid Al Hana, Lingga.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi semasa merasmikan Majlis Ibadah Korban Peringkat DUN Lingga yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Hana, di sini kelmarin.

Menurutnya, sistem grid paip ini merupakan sebahagian daripada rangkaian sistem grid air Bahagian Sri Aman, yang bermula dari Loji Rawatan Air baharu berkapasiti 75 JLT/MLD di Engkilili dan akan menghubungkan kawasan luar bandar dengan jaringan grid air di wilayah selatan Sarawak termasuk Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.

Ketika ini, Lingga menerima 0.65 juta liter sehari (MLD) dari LRA Lingga, namun kapasiti tersebut akan meningkat kepada 1.65 MLD sebaik sahaja loji baharu berteknologi rawatan acute system siap dibina pada September 2025, terletak berhampiran Masjid Al-Hana.

Tetamu yang hadir memeriahkan majlis.

“Loji Rawatan Air Bayai pula sedang beroperasi pada tahap 46 MLD daripada kapasiti penuh 53 MLD, menyediakan margin lebihan sebanyak 7 MLD yang mampu menyokong kawasan tambahan seperti Lingga,” jelasnya.

Sebagai sokongan kepada institusi masjid, Julaihi turut mengumumkan kelulusan geran khas berjumlah RM30,000 kepada Lembaga Pengurusan Masjid Al-Hana Lingga bagi memperkasakan pengurusan dan aktiviti pengimarahan masjid.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Ir. Awang Fadillah Awg Rezuan, Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Temenggong Mohd Shah Achang, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda