
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 24 Jun (MalaysiaAktif) – 20 orang calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun 2024 di Negeri Perlis telah berjaya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan peningkatan kualiti pelajar cemerlang sebanyak 0.84 peratus berbanding 16 orang calon sahaja pada tahun 2023.

Enam orang calon STPM terbaik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi bergambar kenangan.
“Peningkatan yang sangat membanggakan adalah seramai 195 orang calon telah mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding seramai 184 orang calon sahaja pada tahun 2023 dan pada tahun ini juga Perlis mencipta rekod baharu kerana tiada calon gagal di semua Pusat Peperiksaan Tingkatan Enam selama lima tahun berturut turut,” ujar Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Ahmad Sabri Mohamad.
Ahmad Sabri berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengumuman Keputusan STPM tahun 2024, di sini hari ini.
Katanya, bilangan calon yang hadir untuk menduduki peperiksaan STPM 2024 adalah seramai 411 orang calon berbanding 395 orang pada tahun 2023.
“Daripada keseluruhan calon hadir dan menduduki peperiksaan STPM 2024 di negeri Perlis keputusannya calon sekolah kerajaan Lulus Penuh ialah 406 orang atau 98.78 peratus berbanding 389 orang calon atau 98.48 peratus dalam tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 0.30 peratus,” ujarnya.

Seorang calon terbaik STPM 2024 menerima ucapan tahniah daripada ibu dan bapanya.
Dan berita baik untuk negeri Perlis kerana tiada calon gagal dalam tahun 2024 dan kekal sama seperti tahun 2023 dan tahun 2022.
Tambah beliau lagi, terdapat enam buah sekolah telah mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Sekolah Menengah Derma, Sekolah Menengah Tengku Sulaiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Sekolah Menengah Syed Sirajuddin, Sekolah Menengah Syed Hassan dan Sekolah Menengah Perlis.
Majlis pengumuman STPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi tersebut turut meraikan dua puluh orang pelajar terbaik STPM 2024 bersama keluarga masing-masing.
-ZS-