Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Tahun Melawat Johor 2026 Dijangka Jana Limpahan Ekonomi RM42 Bilion

By 22 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Mohd Zahid Othman (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Kempen Tahun Melawat Johor 2026 dijangka menjana limpahan ekonomi mencecah RM42 bilion kepada pelbagai sektor perniagaan di negeri ini termasuk peniaga kecil, pasar, kedai dan pengusaha pelancongan tempatan.

Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata unjuran itu berdasarkan sasaran 12 juta pelancong yang akan menginap di Johor sepanjang tempoh kempen tersebut.

Mohammad Nazrul, berkata antara tarikan utama yang dikenal pasti terdapat di Parit Sulong termasuk Galeri Sejarah Parit Sulong dan Memorial Perang Parit Sulong yang mempunyai nilai sejarah tinggi, khususnya berkaitan era Perang Dunia Kedua.

“Secara purata, seorang pelancong akan berada di sesuatu kawasan selama dua hingga tiga hari dan membelanjakan sekitar RM2,000 hingga RM3,000.

“Daripada jumlah itu, kita jangkakan kesan limpahan ekonomi atau spillover sebanyak RM42 bilion,” katanya kepada media semasa lawatan kerja ke beberapa lokasi pelancongan di daerah ini, semalam.

Tambahnya, meskipun jumlah pelancong ke Johor secara keseluruhan dijangka melebihi angka tersebut, tumpuan diberikan kepada aspek penginapan bagi memastikan pelancong membelanjakan wang mereka di negeri ini.

“Kita mahu pelancong berbelanja, contohnya makan nasi beriani, berkunjung ke Pekan Parit Sulong, membeli-belah di pasar tempatan dan menyokong ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mohammad Nazrul turut menekankan potensi besar Batu Pahat sebagai destinasi pelancongan berdasarkan kekayaan budaya dan warisan sejarahnya.

Antara tarikan utama yang dikenal pasti termasuk Galeri Sejarah Parit Sulong dan Memorial Perang Parit Sulong yang mempunyai nilai sejarah tinggi, khususnya berkaitan era Perang Dunia Kedua.

Infrastruktur pelancongan di kawasan ini juga akan terus ditambah baik dengan kerjasama Majlis Daerah Yong Peng dan Pejabat Daerah Batu Pahat, bagi memastikan kesediaan produk pelancongan menjelang kempen Tahun Melawat Johor 2026.

“Pihak Persatuan Sejarah Galeri Parit Sulong memaklumkan bahawa setiap tahun terdapat kunjungan bekas tentera dari Australia yang datang ke sini untuk memperingati sejarah peperangan di kawasan ini,” katanya.

Menurut beliau, Tourism Johor dengan kerjasama Majlis Daerah Yong Peng dan Pejabat Daerah Batu Pahat akan terus berusaha memastikan kemudahan pelancongan ditambah baik dan produk pelancongan tempatan diselenggara sebaik mungkin menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Lawatan hari ini adalah untuk meninjau kekurangan serta peluang penambahbaikan dari segi infrastruktur supaya produk pelancongan seperti Galeri Parit Sulong berada dalam keadaan terbaik,” jelasnya.

Kempen Tahun Melawat Johor 2026 bakal menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pelancongan negeri dengan penekanan terhadap pemuliharaan sejarah, promosi budaya dan pembangunan produk pelancongan yang mampan.

-FN-

Tinggalkan komen anda