
Laporan/foto: Shahmie Rozman
GUA MUSANG, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang mengambil langkah proaktif membanteras jenayah siber dengan menganjurkan taklimat kesedaran keselamatan dalam talian kepada penduduk setempat menerusi Program JIWA@Komuniti MADANI yang berlangsung di NADI Kampung Baru, di sini semalam.

Antara tetamu yang hadir membaca risalah yang diberikan
Program yang diadakan secara santai itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah siber yang kian berleluasa, selain memberi panduan perlindungan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Menurut Pegawai Polis IPD Gua Musang, Inspektor Sharifah Aida Syafiqah Syed Azmi, penipuan dalam talian kini boleh dikategorikan kepada tiga bentuk utama.

Inspektor Aida sedang memberi ceramah berkaitan kesedaran penipuan dalam telefon dan internet (scammer)
“Pertama ialah melalui panggilan telefon atau dikenali sebagai Macau Scam, di mana penjenayah menyamar sebagai pihak berkuasa seperti polis atau pegawai bank bagi memperdaya mangsa.
“Kedua, penipuan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan pautan mencurigakan, dan ketiga, melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram,” jelasnya.
Tambahnya, orang ramai disarankan menggunakan portal Semak Mule PDRM untuk menyemak nombor akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan atas talian.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Baru, Yap Chan How, 38, menyambut baik inisiatif yang dijalankan oleh pihak polis dan melihat usaha ini sebagai langkah tepat pada masanya.
“Saya sangat berpuas hati dengan sesi ini kerana banyak maklumat berguna dikongsikan, terutamanya tentang modus operandi terkini scammer. Ia amat membantu kami dalam mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Program seperti ini diharap dapat diteruskan secara berkala bagi memperkukuhkan kesedaran dan keselamatan siber di peringkat akar umbi, terutamanya di kawasan luar bandar.
-AA-