Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Telaga Wakaf Masjid Al-Falah Rezeki Warga Felda Sungai Tiang

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Institusi masjid bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah malah turut berfungsi sebagai tempat tumpuan masyarakat setempat khususnya anak kariah bagi mendapatkan bantuan sekiranya berlaku sebarang musibah atau kesulitan.

Dua buah Telaga Wakaf Masjid Al-Falah Felda Sungai Tiang untuk dinikmati oleh semua warga penduduk dan pengunjung.

Peranan ini jelas terbukti apabila pada suatu ketika dalam beberapa tahun yang lalu, warga Felda Sungai Tiang menghadapi masalah bekalan air bersih akibat kerosakan pada tangki utama yang sedang dalam proses baik pulih sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk yang terpaksa berdepan dengan masalah ketiadaan air saban hari.

Prihatin terhadap keperluan warga Felda, Pengerusi Masjid Al-Falah Haji Sharib Hashim yang mendapat sokongan seluruh Ahli Jawatankuasa tampil dengan satu inisiatif proaktif iaitu mewujudkan sebuah telaga wakaf untuk kegunaan penduduk di mana usaha ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban penduduk malah membuktikan kepekaan pihak masjid dalam menyantuni keperluan komuniti setempat selari dengan peranan masjid sebagai pusat khidmat ummah.

Telaga wakaf ini yang siap sepenuhnya dan mula digunakan sejak Februari 2024 diselenggara oleh Jawatankuasa Masjid Al-Falah bagi memastikan bekalan air bersih dan bekalan air siap diminum tersedia sepanjang masa untuk kemudahan para penduduk dan pengunjung.

Penduduk mengambil air telaga wakaf.

Setiausaha Masjid Al-Falah Ustaz Azhar Abd Ghani, 38, ketika ditemui pagi ini menyatakan bahawa telaga wakaf ini bukan sahaja dapat membantu warga penduduk yang tinggal di Felda Sungai Tiang malah tersedia kepada semua pengunjung yang singgah di masjid ini termasuk dari kalangan mereka yang bukan beragama islam.

“Sesiapa sahaja yang memerlukan bekalan air bersih untuk kegunaan harian atau air yang siap untuk diminum, boleh datang membawa bekas atau tong sendiri dan ambil air dari telaga wakaf yang kami sediakan.

“Selain memenuhi keperluan asas penduduk, kemudahan-kemudahan lain yang tersedia di sini menjadi satu medium dakwah secara halus dan berkesan untuk membawa masyarakat lebih dekat dengan masjid atau rumah Allah yang sentiasa terbuka untuk semua,” ujarnya.

Air Telaga Wakaf Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang yang telah dibina menggunakan wang infak dan sumbangan orang ramai kini bukan sahaja dapat dinikmati oleh warga penduduk, malah manfaatnya turut dikongsikan bersama penduduk sekitar dan semakin dikenali hingga ke luar daerah Pendang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda